3R perlu dipraktikkan

Oleh Amri HTZ

Pelbagai inisiatif telah dilakukan oleh banyak pihak, persatuan dan sebagainya bagi menyokong pendekatan ‘3R’ iaitu guna semula, kurangkan dan kitar semula, namun inisiatif tidak akan berjaya tanpa sokongan daripada masyarakat awam.

Barangan yang boleh menggunakan konsep 3R terdiri daripada pelbagai jenis dan salah satu daripadanya ialah botol kaca terbuang. Dengan memanfaatkan botol terbuang ini, ia boleh ditukarkan menjadi barangan berharga seperti cawan; bekas penyimpanan untuk lilin, sudu, garpu, pen; mahupun pasu.

Barangan yang diperlukan

Mereka alat pemotong botol yang cukup mudah ini memerlukan beberapa barangan dan peralatan penting seperti sekeping kayu berukuran ½ inci x 4 inci, paip PVC berdiameter 20mm, pemotong paip atau gergaji besi, mesin gerudi, pemotong kaca (berbentuk seperti pen), skru, empat biji magnet, pembaris besi berukuran 12 inci, besi berbentuk ‘L’ (penggantung), botol kaca, macis, ais, kertas pasir, sekeping besi atau aluminium berukuran 20sm x 20sm dan wood oil.

Langkah -langkah

Bagi memulakan langkah memotong botol kaca ini, langkah pertama adalah mereka dan memotongkan kayu yang telah disediakan menjadi ukuran yang diperlukan.

Potong kayu tersebut menggunakan mesin gergaji kayu atau tangan dengan ukuran lebih kurang 10 hingga 15 inci. Ukuran kayu yang ditentukan ini bukanlah suatu kemestian dan tertakluk kepada ukuran atau kepanjangan botol kaca yang hendak dipotongkan.

Magnet yang digunakan perlu dikekalkan kedudukannya pada besi berbentuk ‘L’ menggunakan pita perekat.
Kesemua bahagian alat pemotong kaca yang telah terpasang.
Kayu yang telah dipotongkan perlu disapukan menggunakan minyak kayu untuk melindungi permukaannya.

Bahagian yang telah dipanaskan perlu disapukan menggunakan ais pada keseluruhan permukaan potongan untuk menjadikan kaca terbelah dua.
Bahagian potongan dengan garisan halus perlu dipanaskan menggunakan api.

Setelah dipotong, sapukan permukaan kayu tersebut menggunakan minyak kayu (wood oil). Tujuan utama penggunaan minyak kayu di sini adalah melindungi permukaan kayu agar tidak mudah rosak diserang serangga perosak selain menjadikan rekaan tersebut lebih menarik.

Sementara menunggu minyak tersebut mengering, gunakan masa yang terluang untuk memotongkan paip PVC dengan kepanjangan 6 inci untuk dua batang paip. Bahagian hujung paip tersebut akan ditebuk menggunakan mata gerudi berukuran besar (10mm) dan kecil untuk bahagian hujung paip yang satu lagi (5mm). Bersihkan permukaan potongan menggunakan kertas pasir dengan ukuran 600 grit.

Langkah seterusnya adalah menyediakan pemotong kaca yang telah disediakan untuk dipasangkan pada permukaan kayu yang telah dipotong tadi. Sebelum memasangkan pemotong kaca yang biasanya terjual dalam bentuk seperti pen, anda perlu memotongkan bahagian hujung (pemotong kaca tanpa pemegangnya) menggunakan gergaji besi dan menebuk dua lubang untuk dipasangkan skru pada permukaan kayu nanti.

Besi berukuran 2sm x 20sm yang telah disediakan tadi juga akan ditebuk menggunakan gerudi pada tiga tempat berlainan iaitu setiap sudut hujung besi dan bahagian tengahnya. Gunakan mata gerudi dengan diameter yang bersesuaian dengan skru yang digunakan untuk memasangkannya pada permukaan kayu nanti.

Setelah memastikan minyak kayu pada permukaan kayu telah mengering, bersihkan lebihan minyak itu menggunakan kertas tisu sebelum memulakan proses pemasangan. Mulakan dengan menandakan bahagian tengah kayu dan memasangkan kedua-dua paip PVC tadi dengan kedudukan 6sm daripada bahagian tengah. Kedudukan PVC yang dipasangkan tersebut juga perlu dalam keadaan tidak sejajar bagi memastikan ia mampu mengendalikan ukuran botol yang lebih panjang anda menggunakannya.

Setelah itu, pasangkan pemotong kaca yang telah ditebuk dengan dua lubang tadi pada bahagian tengah hujung kayu (sama kedudukan dengan paip PVC tadi) dan kekalkan kedudukannya menggunakan skru. Pastikan ia dipasangkan dengan cukup kukuh memandangkan tekanan yang akan diberikan kepadanya nanti ketika proses pemotongan. Ini diikuti dengan pemasangan kepingan besi yang telah ditebuk tadi pada bahagian tengah kayu (juga pada kedudukan berhampiran besi pemotong kaca).

Sebagai langkah pilihan, pembaris besi yang telah disediakan tadi berfungsi sebagai pengukur botol yang akan dipasangkan sejajar dengan kepingan besi yang telah dipasangkan pada bahagian tengah tadi. Jika anda tidak memerlukan pengukur untuk botol ini, langkah ini tidaklah diperlukan. Pembaris tadi akan dipotong dengan ukuran yang sama dengan kayu tersebut. Selain itu, pastikan hujung pembaris diletakkan berdekatan dengan mata pemotong kaca tersebut. Untuk mengekalkannya pada kedudukan, gunakan pelekat dua muka dan lekatkan pada permukaan besi bahagian tengah.

Bahagian terakhir yang perlu dipasangkan ialah besi berbentuk ‘L’ dan magnet yang telah disediakan. Dengan menyediakan besi berbentuk ‘L’ tadi, lekatkan magnet (empat biji atau lebih) pada permukaan besi ‘L’ menggunakan pelekat dua muka dan akhiri dengan pita pelekat pada bahagian luarannya bagi memastikan ia cukup kukuh pada kedudukannya itu. Bahagian terakhir yang direka ini berfungsi sebagai pelaras ukuran botol yang akan dipotongkan dengan hanya melekatkan pada bahagian tengah (besi) alat pemotong botol tersebut.

Langkah terakhir ialah anda perlu mencuba alat pemotong botol tersebut. Dengan meletakkannya pada alat pemotong, beri tekanan pada bahagian potongan dan pusingkan botol sehingga menemukan semula tempat mula potongan.

Bahagian potongan yang ternampak dengan garisan halus perlu dibakar atau dipanaskan menggunakan macis atau lilin.

Panaskan keseluruhan bahagian potongan sehingga dirasakan ia cukup panas diikuti dengan menyapukan ais di sekelilingnya. Proses penyejukan mengejut ini akan menjadikan kaca terbelah atau pecah. Kini anda hanya perlu meratakan permukaan potongan menggunakan kertas pasir dijadikan sebagai pasu, bekas menyimpan dan sebagainya.