4 atlet SOBD sahut cabaran Singapura

Oleh Mohamad Asyramisyanie

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 7 Mei – Seramai empat atlet Olimpik Khas Brunei Darussalam (SOBD) akan menyertai dua acara iaitu Badminton dan Olahraga dalam Kejohanan Sukan Olimpik Khas Kebangsaan Singapura kali ke-9 tahun 2017 bermula 19 hingga 21 Mei ini nanti.

Sehubungan dengan penyertaan atlet SOBD di dalam acara itu, hari ini berlangsungnya sidang media dan seterusnya penyampaian peralatan sukan kepada atlet-atlet di ibu pejabat SOBD di Gadong.

Mempengerusikan majlis itu ialah Presiden SOBD, Lt. Kol. (B) Pengiran Haji Rambli bin Pengiran Haji Bunut yang antaranya menegaskan pasukan SOBD akan bertolak ke Singapura pada 18 Mei.

“Para atlet akan ditempatkan di Perkampungan Sukan Singapura bersama lebih 600 lebih peserta lain, kejohanan itu bakal dibuka rasmi oleh Presiden Singapura, Tony Tan Keng Yam dan ini merupakan peluang terbaik bagi semua peserta untuk membuktikan kemampuan dalam acara sukan yang disertai,” ujarnya lagi.

Beliau mengingatkan supaya para peserta akan menjaga disiplin dan mengikut arahan pihak penganjur, jurulatih dan ketua rombongan serta tidak mensia-siakan peluang yang diberikan untuk mewakili negara di peringkat antarabangsa.

Empat atlet SOBD bergambar ramai ketika menghadiri sidang media dan seterusnya menerima peralatan sukan di ibu pejabat SOBD.
Empat atlet SOBD bergambar ramai ketika menghadiri sidang media dan seterusnya menerima peralatan sukan di ibu pejabat SOBD.

Rombongan Brunei Darussalam di dalam acara itu akan dipimpin oleh Adana Musim dan akan diiringi oleh jurulatih olahraga, Haji Hamdan Ajak dan jurulatih badminton, Haji Salim Haji Putih.

Penyertaan kali ini menyaksikan buat julung-julung kalinya penyertaan negara di dalam sukan badminton dan dalam acara olahraga pula peserta negara akan menyertai pecut 100m, 200m dan 400m serta acara lompat jauh.

“Setakat ini pencapaian terbaik negara adalah pada tahun 2009 di Greece apabila kita berjaya meraih empat pingat emas dan pada tahun 2016 di Los Angeles apabila kita meraih tiga pingat emas,” ujarnya.

Sementara itu dalam sidang berkenaan, Haji Salim menegaskan persiapan awal berjalan dengan baik dan Sukan Kebangsaan Brunei Darussalam baru-baru ini menjadi platform pemilihan sebelum latihan intensif dijalankan dengan bantuan jurulatih badminton dan persatuan induk sukan badminton negara.

“Penyertaan kali pertama ini akan menjadi tanda aras bagi sukan badminton di peringkat ini dan kami komited untuk meneruskan penyertaan acara badminton dalam penganjuran lain, selain akan memastikan perkembangan sukan ini akan dibuat secara berterusan termasuk dalam memastikan para peserta bersedia dari aspek mental dan fizikal,” ujarnya lagi.

Empat atlet yang bakal membawa nama negara dalam kejohanan itu nanti ialah Josepeswandy Bukoh Tan, Mohamad Nir Salihin Dahlan, Muhammad Haziman Azrul Muhammad Nurudin dan Esremy Luas dan kesemua mereka menerima barangan sukan masing-masing tajaan SOBD dan Imperial Sport.