MEDAN, INDONESIA, 25 MEI – Empat orang diberkas di Indonesia kerana didakwa mencuri vaksin COVID-19 yang diperuntukkan untuk banduan dan menjualnya kepada orang awam, menurut pihak berkuasa hari ini.
Suspek mencuri lebih daripada 1,000 dos vaksin buatan China Sinovac daripada kuota banduan, menawarkan vaksin kepada pembeli di Jakarta dan di bandar Sumatera Utara, Medan dengan harga 250,000 rupiah.
Keempat-empat yang ditahan termasuk seorang doktor di penjara di Medan dan seorang pegawai kesihatan tempatan, kata polis.
Mereka mungkin berdepan hukuman penjara seumur hidup jika disabit bersalah di bawah undang-undang antirasuah Indonesia.
“Salah seorang suspek membawa vaksin ke Jakarta di mana kami juga menemui beberapa lokasi yang menyediakan perkhidmatan tersebut,” beritahu jurucakap polis Sumatera Utara Hadi Wahyudi kepada AFP hari ini.
Indonesia telah terjejas teruk oleh pandemik koronavirus, dan ia telah melancarkan program vaksinasi besar-besaran untuk kebanyakan penduduknya.
Rakyat boleh menerima suntikan vaksin secara percuma. Namun puluhan juta masih menunggu untuk menerima suntikan, dengan bekalan terhad dikhaskan untuk pekerja kesihatan barisan hadapan dan kumpulan berisiko tinggi lain, termasuk banduan di penjara yang sesak di Indonesia.
Sistem penjara negara terkenal dengan keadaan teruk dan kumpulan hak mengingatkan mengenai risiko wabak koronavirus dalam penjara di seluruh gugusan kepulauan itu. – AFP



































