KOTA KINABALU, 24 JULAI – Empat dimensi utama akan menjadi ukuran dalam memastikan sekuriti makanan negara mampu bertahan dalam jangka masa yang lama.
Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata dimensi itu adalah ketersediaan, akses, keselamatan makanan dan nutrisi, sumber semula jadi dan kemampanan.
“Usaha untuk menangani sekuriti makanan merupakan satu usaha yang berterusan dan kita harus mempunyai kemampuan mengeluarkan keperluan makanan di negara ini.
“Kita cuma mengimport barang-barang yang tidak dikeluarkan (atau tidak mencukupi) di negara, sebab itu pelbagai usaha dijalankan oleh kementerian serta agensi untuk meningkatkan tahap sara diri pengeluaran produk makanan di negara kita,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan program Street Attack Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2022 zon Sabah di Tamu Jalan Gaya di sini, hari ini.
Ronald berkata antara usaha berterusan yang dilaksanakan kementerian ketika ini termasuk mengurangkan kebergantungan sebanyak 30 peratus import beras dari luar negara. – Bernama