BANDAR SERI BEGAWAN, 6 April – Dalam usaha kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan untuk terus memastikan Negara Brunei Darussalam bebas daripada sebarang ancaman yang boleh menggugat keamanan, keharmonian dan keselamatan negara, Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (JKDN) dengan kerjasama agensi-agensi perisikan dan penguatkuasaan di negara ini telah bertindak menahan dan seterusnya mengusir empat orang warga asing atas penglibatan dalam aktiviti berkaitan ekstremisme dan pengganasan.
Berikutan operasi pada Februari 2017, empat orang warga Indonesia telah ditahan di bawah Bab 55 Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) seterusnya telah diusir dan disenaraihitamkan daripada memasuki negara ini setelah mereka didapati mempunyai kecenderungan terhadap ideologi kumpulan militan, Islamic State (IS).
Keempat-empat suspek tersebut ialah Teuku Muhammad Zein Teuku Sofyan, 31; Murtadho Bakri, 46; Andri Rahayu Sukiman, 33 dan Firdaus Muhammad Ali, 37 (Gambar dari atas kiri ke bawah).
Hasil siasatan JKDN mendedahkan dua daripada suspek tersebut memiliki bahan propaganda berkaitan dengan kumpulan IS dan kesemua suspek mengakui memuat turun video-video IS yang boleh diperolehi secara ‘online’ di internet dan seterusnya dikongsi bersama dengan individu-individu lainnya.
Maklumat lain yang diperolehi melalui sumber risikan turut mendedahkan salah seorang suspek yang ditahan, Teuku Muhammad Zein berhubung secara langsung dengan individu yang disyaki sebagai anggota IS di luar negara.
JKDN telahpun mengongsi hasil siasatan ini dengan rakan kerja di Indonesia sebelum keempat-empat suspek diusir dari negara ini.
Sehubungan ini, perkembangan yang tidak diingini mengenai wujudnya elemen-elemen ekstremisme dan pengganasan dalam negara ini menunjukkan kerajaan dan rakyat negara ini perlu sentiasa berhati-hati di mana negara tidak terkecuali daripada ancaman-ancaman tanpa sempadan.
Pihak kerajaan juga ingin mengingatkan orang ramai bahawa sebarang perbuatan berkaitan ekstremisme dan pengganasan akan memudaratkan keselamatan Negara Brunei Darussalam dan merupakan kesalahan berat di bawah Perintah Antipengganasan.
JKDN dan agensi-agensi perisikan dan penguatkuasaan di negara ini akan mengambil langkah-langkah pencegahan yang tegas ke atas mana-mana individu atau kumpulan yang didapati menyokong, mempromosi atau menyebarkan apa jua ideologi atau propaganda militan termasuk sebarang perbuatan menyalurkan atau mengumpul dana untuk kegunaan individu atau kumpulan berkaitan pengganasan.
Dalam hal ini orang ramai digesa untuk sentiasa berhati-hati dan melaporkan sebarang aktiviti mencurigakan yang dilakukan oleh individu sama ada secara perseorangan mahupun berkumpulan yang menjurus kepada kegiatan pengganasan dengan menghubungi JKDN melalui talian hotline 133 atau e-mel isd133@kdn.gov.bn