4 guru Thai timba pengalaman mengajar

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 9 Okt – Dengan matlamat bukan sahaja untuk mempelajari kaedah pembelajaran yang dikendalikan di sekolah-sekolah di Negara Brunei Darussalam tetapi juga untuk menyaksikan serta mengenali budaya masyarakat Brunei, empat orang guru dari Thailand menyertai Program Pertukaran Guru-guru antara Persekutuan Guru-Guru Melayu Brunei (PGGMB) dan Majlis Guru-guru Thailand (KHURUSAPHA). Mereka mengikuti program penempatan mengajar selama dua minggu bermula kelmarin di sekolah-sekolah PGGMB di negara ini.

Sebelum memulakan penempatan mengajar, kumpulan guru-guru dari Thailand itu telah dialu-alukan dalam majlis rasmi yang diadakan di Ibu Pejabat PGGMB, Bandar Seri Begawan, oleh Yang Dipertua PGGMB, Haji Antin bin Ahad serta ahli-ahli Jawatankuasa Tertinggi PGGMB.

Semasa majlis tersebut, para guru berkenaan diberikan taklimat mengenai profil PGGMB dan susunan atur cara penempatan mengajar selama mereka berada di negara ini, di mana program penempatan itu dimulakan dengan siri lawatan suai kenal ke Sekolah PGGMB Sungai Akar, Sekolah Tunas Jaya Madang dan Sekolah Tunas Jaya Lambak.

Guru-guru tersebut yang tiba di Brunei pada 6 Oktober lalu dan akan menamatkan program penempatan pada 19 Oktober nanti, adalah yang terpilih dari Sekolah Iskamsriayuthaya yang terletak di Daerah Ayutthaya, Bangkok, Thailand dan ditempatkan di sekolah-sekolah PGGMB untuk mengajar mata pelajaran Bahasa Inggeris dan Sains.

Terdahulu daripada itu, tiga orang guru PGGMB yang menyertai program pertukaran berkenaan di Thailand telah kembali ke tanah air setelah menamatkan penempatan mengajar selama dua minggu di Sekolah Iskamsriayuthaya. Penghantaran kumpulan pertama itu disempenakan dengan Sambutan Hari Guru Negara Brunei Darussalam ke-28.

Guru-guru dari Thailand bergambar-ramai bersama guru-guru dan murid-murid Sekolah PGGMB Sungai Akar semasa sesi lawatan suai kenal ke Sekolah PGGMB Sungai Akar, kelmarin.

PGGMB dan KHURUSAPHA buat julung kalinya membuat perjanjian persefahaman (MoA) untuk memulakan Program Penempatan Guru antara kedua-dua belah pihak yang dipersetujui pada Januari 2018 di Bangkok, Thailand.

Melalui MoA itu, PGGMB akan menghantar guru-guru untuk ditempatkan mengajar di sekolah-sekolah di Thailand, manakala KHURUSAPHA akan menghantar guru-guru mereka ke Negara Brunei Darussalam untuk ditempatkan mengajar di sekolah-sekolah PGGMB.

Program itu bertujuan untuk membolehkan guru-guru mempelajari dan memahami kaedah-kaedah pengajaran di sekolah-sekolah dalam kalangan negara-negara ASEAN, di samping mempelajari amalan kebudayaan di negara masing-masing.

Selain daripada itu, ia juga bertujuan untuk meningkatkan hubungan kerjasama dalam bidang pendidikan, khususnya dalam bidang perguruan. PGGMB dan KHURSAPHA merupakan ahli kepada Majlis Guru-Guru ASEAN. KHURUSAPHA merupakan sebuah persatuan guru ternama yang mengendalikan hal ehwal profesion perguruan di Thailand.