4 hilang di laut, ditemui

Oleh Hakim Hayat

BANDAR SERI BEGAWAN, 14 APRIL – Empat individu yang hilang di laut ketika menangkap ikan hampir seminggu lalu telah ditemui selamat dan pulang ke darat selepas satu usaha menyelamat yang diselaraskan oleh pelbagai agensi menemui bot mereka pagi hari ini.

Kementerian Pertahanan mengongsikan bahawa Markas Angkatan Bersama (JFHQ) Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB), sebaik menerima maklumat dari Pusat Kawalan Negara (PKN) mengenai kejadian itu, telah mengerahkan pesawat Tentera Udara Diraja Brunei (TUDB), Blackhawk S70i yang menemui bot tersebut pada pukul 10:40 pagi.

TUDB memaklumkan lokasi bot hilang berkenaan dengan memberikan koordinat GPS kepada kapal peronda Tentera Laut Diraja Brunei (TLDB), KDB Berkat yang membuat rondaan yang kemudiannya tiba di lokasi bot berkenaan pada pukul 11:40 pagi.

Mereka kemudian dibekalkan dengan minyak, makanan dan air oleh anggota KDB Berkat dan kemudian diiringi balik ke darat bersama rakan mereka yang menaiki sebuah lagi bot dan tiba di Kuala Tutong pada pukul 2:23 petang.

Semasa respons koordinat itu, PKN memaklumkan Pusat Pengawasan Maritim Kebangsaan dan Pusat Penyelarasan Mencari dan Menyelamat Kebangsaan (NSARCC) berhubung rapat dengan JFHQ ABDB sepanjang operasi tersebut.

Menurut salah seorang anak daripada empat individu tersebut, Awang Mohd Aidil bin Haji Yasin, keempat-empat lelaki berkenaan keluar menangkap ikan pada awal pagi Sabtu lalu dari Daerah Tutong tetapi ahli keluarga tidak mendengar berita daripada mereka selama beberapa hari.

“Biasanya, apabila mereka keluar menangkap ikan di laut, mereka akan pulang dalam sehari atau dua hari tetapi ibu saya menyedari sesuatu apabila beliau tidak menerima sebarang berita daripada mereka dalam beberapa hari kebelakangan,” ujarnya.

Menurut Awang Mohd Aidil, bapanya dan rakan-rakannya dalam keadaan baik apabila ditemui dan sedang menjalani pemeriksaan kesihatan di Hospital Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Tutong.

Kelihatan bot yang dinaiki empat individu ditemui di tengah lautan. – Gambar oleh Mohd Aidil bin Haji Yasin