4 individu dan 2 syarikat dikenakan kompaun

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 17 APRIL – Empat orang individu dan dua buah syarikat dikenakan kompaun sebanyak $100 hingga $500 setelah didapati membuang sampah, puntung rokok dan membuang/meninggalkan bekas bahan binaan di tempat awam, di kawasan Gadong, Kiarong dan Kampung Jaya Setia Berakas.

Individu dan syarikat berkenaan dikenakan kompaun $100 dan $500 di bawah Akta Kesalahan-kesalahan Kecil Penggal 30, Seksyen Bab 12 (1)(A) bagi individu dan Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil Penggal 30, Seksyen 12 (1)(D).

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Jabatan Bandaran Bandar Seri Begawan, di sini, hari ini, kompaun berkenaan dikeluarkan oleh Bahagian Penguatkuasaan Undang-Undang Jabatan Bandaran Bandar Seri Begawan, semasa pemantauan kebersihan rutin harian dari Mac hingga 15 April.

Kenyataan menyatakan bahawa dua orang warga tempatan dan dua orang warga Indonesia dikenakan kompaun $100 manakala dua buah syarikat dikenakan kompaun sebanyak $500.
Menurut kenyataan itu lagi, dalam kes berkenaan, individu-individu dan syarikat-syarikat berkenaan diberikan tempoh selama tujuh hari untuk menyelesaikan kompaun dan jika gagal mereka boleh didakwa di mahkamah.

Bagi kesalahan pertama, boleh dikenakan denda mahkamah $1,000 manakala bagi kesalahan kedua dan seterusnya boleh dikenakan denda $3,000 dan penjara tidak melebihi tiga bulan.

Jabatan Bandaran Bandar Seri Begawan juga memperingatkan supaya orang ramai tidak membuang sampah di tempat-tempat awam demi menjaga kebersihan alam sekitar Negara Brunei Darussalam dan sekali gus menjaga kesihatan awam.

Sebarang aduan dan maklumat yang berkaitan dan mencurigakan boleh disampaikan terus ke Bahagian Penguatkuasaan Undang-Undang Jabatan Bandaran Bandar Seri Begawan menerusi Talian Darussalam 123, WhatsApp 8333123 atau e-mel [email protected]