Tuesday, March 25, 2025
26.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    4 kadet juruterbang tandatangani perjanjian bersama RB

    Oleh Syahmi Hassan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 16 Jan – Empat orang yang berjaya terpilih daripada 300 permohonan untuk menyertai Program Kadet Juruterbang Penerbangan Diraja Brunei (RB) telah menandatangani perjanjian dengan RB di Dewan Sejahtera, Kelab Rekreasi Diraja Brunei, hari ini.

    Majlis menyaksikan Awang Muhd Zaidani bin Haji Mohd Zaini, Awang Randy bin Selim@Lim Ming Poh, Dayangku Nur Azimah binti Pengiran Anuar dan Brendan Ti Zee Yung menandatangani perjanjian untuk menyertai Program Kadet Juruterbang RB untuk pengambilan ke-47.

    Hadir bagi pihak RBA untuk menandatangani perjanjian pagi tadi ialah Ketua Pegawai Eksekutif RBA, Karam Chand dan Pemangku Ketua Perkhidmatan Korporat, Dayang Zama’aiah binti Haji Nayan.

    Program Kadet Juruterbang yang dipanggil CTC Wings akan memulakan latihan pada 23 Januari ini bersama CTC Aviation di New Zealand.

    Buat masa ini, RB mempunyai 102 juruterbang tempatan kelahiran Brunei, 51 orang juruterbang bagi pesawat Airbus A319/A320 dan 51 orang juruterbang lain bagi pesawat Boeing 787.

    Awang Muhd Zaidani ,25, ketika ditemui menjelaskan bahawa ini merupakan satu cabaran besar memandangkan beliau mempunyai latar belakang pendidikan yang berbeza daripada jurusan juruterbang.

    “Memang ia akan menjadi satu cabaran besar bagi saya kerana saya adalah pelajar daripada bidang perniagaan. Oleh itu, saya perlu belajar dan mengkaji banyak perkara dalam industri ini,” jelas Awang Muhd Zaidani.

    Karam Chand bergambar ramai bersama empat kadet juruterbang yang terpilih.
    Karam Chand bergambar ramai bersama empat kadet juruterbang yang terpilih.
    Dayangku Nur Azimah ketika ditemu bual.
    Dayangku Nur Azimah ketika ditemu bual.

    Beliau juga amat terkejut apabila mengetahui beliau merupakan salah seorang pemohon yang telah dipilih untuk menjalani program berkenaan daripada 300 orang pemohon yang lain.

    Beliau yang mempunyai Ijazah Sarjana Muda jurusan perniagaan di Universiti Brunei Darussalam dan telah melanjutkan pelajaran dalam bidang perniagaan pada peringkat Ijazah Sarjana di United Kingdom, berharap dapat menjalani program ini dengan cemerlang.

    Manakala Dayangku Nur Azimah menjelaskan beliau bersama tiga rakan seperjuangan menjalani latihan di RB di bawah operasi penerbangan, di mana mereka telah diajar mengenai kapal terbang dan fungsi semua peralatan yang diperlukan dalam sesebuah pesawat.

    Dengan semangat dan keyakinan, beliau berharap untuk menjalani program yang akan bermula tidak lama itu dengan cemerlang.

    “Kami mesti belajar dan mengkaji dengan lebih mendalam bukan sahaja untuk lulus tetapi apa yang lebih penting ialah kerja sebagai seorang juruterbang yang melibatkan nyawa orang ramai. Oleh itu, keselamatan adalah perkara paling penting,” tambah Dayangku Nur Azimah.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda