Tuesday, October 15, 2024
28.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    4 kanak-kanak maut kereta api langgar basikal

    HAGUE, 20 Sept – Empat kanak-kanak terbunuh dan dua yang lain cedera parah hari ini selepas kereta api melanggar sebuah basikal kargo elektrik di Belanda, menurut polis Belanda.

    Polis berkata kemalangan itu berlaku pada laluan kereta api di bandar Oss, kira-kira 100 kilometer dari tenggara ibu negara Amsterdam, di persimpangan laluan berhampiran bandar stesen kereta api itu. Laluan itu mempunyai lampu amaran, dan perintang berwarna merah dan putih bagi memastikan pejalan kaki tidak melintasi jalan itu ketika kereta api melaluinya.

    Polis berkata basikal elektrik milik pusat jagaan kanak-kanak dan membawa kanak-kanak itu untuk pergi ke sekolah apabila insiden itu terjadi. Siasatan sedang dijalankan untuk mengenal pasti punca kemalangan.

    Dua mangsa yang tercedera dibawa ke hospital tempatan untuk mendapatkan rawatan lanjut.

    Datuk Bandar Oss, Wobine Buijs-Glaudemans berkata pihak berkuasa tempatan bersimpati terhadap keluarga mangsa, sekolah, pusat jagaan dan semua yang terlibat.

    Anggota keselamatan berada di tempat kejadian di mana sebuah kereta api melanggar sebuah basikal kargo, mengorbankan empat kanak-kanak di bandar Oss, Tenggara Amsterdam, Belanda, kelmarin. – AP

    Basikal kargo, basikal yang mempunyai kotak besar kayu atau plastik di bahagian hadapannya, dulunya terkenal untuk membawa barangan membeli-belah.

    Sekarang ia sangat popular dalam kalangan ibu bapa sebagai tempat membawa anak-anak mereka yang masih kecil.

    ProRail, syarikat yang bertanggungjawab untuk infrastruktur kereta api di Belanda, berkata dalam satu kenyataan bahawa punca perlanggaran itu sedang disiasat.

    “Ini adalah hari yang sangat sedih, dahsyat bagi keluarga dan mereka yang terlibat,” kata Ketua Pegawai Eksekutif ProRail, Pier Eringa. “Tiada kata untuk menggambarkan peristiwa ini.” – AP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda