Wednesday, April 24, 2024
24.3 C
Brunei

    -

    4 keluarga ditimpa musibah terima bantuan

    Oleh Yusrin Junaidi

    BANDAR SERI BEGAWAN, 27 MAC – Tiga orang ketua keluarga yang terlibat dalam kejadian banjir di Daerah Temburong dan seorang ketua keluarga yang terlibat dalam kebakaran rumah di Daerah Tutong telah menerima bantuan kewangan kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei
    Darussalam melalui peruntukan Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM).

    Majlis penyampaian sumbangan yang dianjurkan oleh Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) melalui JAPAM itu diadakan secara berasingan di bangunan KKBS dan Pusat Bahagia Tutong serta disempurnakan oleh Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin.

    Pada sebelah pagi, Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan telah menyerahkan bantuan kewangan kerajaan kepada tiga orang ketua keluarga yang terlibat dalam kejadian banjir di Kampung Puni, Daerah Temburong pada majlis yang berlangsung di Dewan Citra Budaya, KKBS.

    Pada sebelah petang, majlis penyerahan diadakan di Pusat Bahagia Tutong untuk seorang ketua keluarga yang terlibat dalam kejadian kebakaran rumah di Kampung Kandang, Sengkarai, Tutong. Majlis juga diselajurkan dengan bacaan tahlil dan doa arwah untuk mangsa yang terkorban.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan, hujan lebat yang berterusan pada 5 Mac lalu telah menjejaskan kawasan rendah di sekitar Jalan Ujong Jalan, Kampung Puni Temburong dan menyebabkan limpahan air memasuki rumah-rumah mangsa melebihi paras satu kaki.

    Wakil salah sebuah keluarga menerima bantuan kewangan kerajaan yang disampaikan Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan.
    Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan menyampaikan bantuan kewangan kepada salah sebuah keluarga yang ditimpa musibah.

    Kesemua penghuni dalam keadaan selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan.

    Manakala itu, kejadian kebakaran rumah yang berlaku sekitar 2:30 petang pada 16 Mac lalu telah meranapkan keseluruhan rumah Dayang Rohaya binti Haji Abdullah.

    Dalam kejadian tersebut, seorang mangsa orang kelainan upaya (OKU) berusia 23 tahun telah meninggal dunia dan seorang lagi mangsa berusia 36 tahun mengalami kecederaan ringan kerana cuba menyelamatkan adiknya daripada kebakaran disebabkan oleh letupan gas.

    Pemberian bantuan kewangan tersebut adalah untuk membantu meringankan kesusahan yang dialami oleh mangsa-mangsa bencana bagi meneruskan kehidupan seharian.

    Usaha berkenaan menunjukkan keprihatinan dan pemedulian pihak kerajaan terhadap rakyat dan penduduk yang mengalami musibah.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Badak air betina disangka jantan

    TOKYO, 23 APRIL - Terperdaya oleh DNA dan tabiat tandas yang pelik, seekor badak air di Jepun yang disangka jantan selama tujuh tahun sebenarnya...