4 kes baharu COVID-19 dilaporkan

KUALA LUMPUR, 1 MAC – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini mengesahkan empat lagi kes positif jangkitan COVID-19 di negara ini, menjadikan jumlah keseluruhan 29 kes setakat ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata kes ke-26 merupakan seorang lelaki berusia 52 tahun dan mempunyai sejarah perjalanan ke Shanghai, China, sekitar pertengahan Januari lalu.

Katanya, lelaki itu mengalami gejala demam dan sakit tekak pada 27 Februari lalu dan telah mendapatkan rawatan sebagai pesakit luar dari sebuah hospital swasta pada hari sama.

Beliau berkata kes ke-27 pula merupakan seorang jururawat pelatih wanita berusia 20 tahun dan beliau menjalani latihan sangkutan jangka pendek di hospital swasta yang merawat kes ke-24.

Sementara itu, kes ke-28 merupakan seorang lelaki berusia 45 dan merupakan rakan sekerja kepada kes ke-25.

“Beliau bersama-sama dengan kes ke-25 dan seorang lagi rakan sekerja mempunyai sejarah perjalanan ke Milan, Itali, dari 15 hingga 21 Februari.

Dr Nor Hisham berkata kes ke-29 melibatkan wanita berusia 35 tahun yang telah dimasukkan ke sebuah hospital swasta pada 21 Februari.

“Beliau telah ditempatkan di bilik berdua dengan kes ke-24, yang pada ketika itu belum diketahui dijangkiti COVID-19. Pada 25 Februari, beliau dibenarkan pulang ke rumah dan pada 27 Februari, beliau mula rasa tidak sihat namun tidak mendapatkan rawatan.

“Beliau dikenal pasti sebagai kontak rapat kes ke-24 dan disahkan positif COVID-19 semalam dan kini di wad isolasi Hospital Sungai Buloh,” katanya.

Dengan empat kes ini, Dr Noor Hisham berkata jumlah kumulatif COVID-19 dalam negara adalah 29 orang, dengan 22 kes telah sembuh dan dibenarkan discaj manakala tujuh lagi masih menerima rawatan. – Bernama