Oleh Ak Zaki Kasharan & Syahmi Hassan
BANDAR SERI BEGAWAN, 16 MAC – Empat lagi kes baharu telah disahkan dijangkiti COVID-19 yang membawa jumlah keseluruhan kes di negara ini kepada 54 orang.
Tiga daripada kes baharu tersebut adalah mereka yang dikategorikan sebagai kes generasi kedua kepada kluster tabligh di Kuala Lumpur iaitu mereka yang dijangkiti bukan secara langsung daripada jemaah tabligh yang menghadiri perkumpulan itu tetapi melalui kes-kes yang mempunyai kaitan rapat dengan jemaah tabligh, dan terdapat juga satu kes yang diimport dari luar negara.
Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar mengumumkan perkara berkenaan semasa Sidang Media bagi Status Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam di Dewan Al-Afiah, Kementerian Kesihatan, hari ini.
Yang Berhormat Dato menjelaskan, kes 51 berumur 29 tahun merupakan rakan kerja kepada kes 37 yang tergolong dalam generasi pertama kluster tabligh. Beliau (kes 51) tidak mempunyai sejarah perjalanan ke luar negara dan tidak mengalami sebarang tanda-tanda jangkitan.
Sementara itu kes 52 berumur 27 tahun ialah isteri kepada kes 43 yang tergolong generasi pertama kluster tabligh. Beliau (kes 52) tidak mempunyai sejarah perjalanan ke luar negara dan telah mula mengalami batuk, selesema, sakit kepala dan rasa letih pada 12 Mac.


Kes 53 pula ialah seorang lelaki warga British berumur 42 tahun yang mempunyai keluarga di Negara Brunei Darussalam dan beliau telah tiba ke negara ini pada 9 Mac dengan menaiki pesawat Royal Brunei BI004.
Sebelum tiba ke negara ini, beliau telah pergi ke Switzerland dan beberapa buah bandar raya di United Kingdom. Beliau mula mengalami demam panas, sakit tekak, batuk, selesema dan sesak nafas pada 14 Mac.
Manakala itu, kes 54 berumur 39 tahun ialah kontak kepada kes 30 yang tergolong generasi pertama kluster tabligh. Beliau (kes 54) tidak mempunyai sejarah perjalanan ke luar negara dan telah mula mengalami batuk dan sakit tekak pada 12 Mac.
Yang Berhormat Menteri Ke-sihatan menyatakan bahawa semua kes yang telah disahkan sedang dirawat di Pusat Pengasingan Kebangsaan di mana salah seorang daripadanya dalam keadaan kritikal, memerlukan bantuan mesin pernafasan dan sedang dirawat di Unit Rawatan Intensif di pusat berkenaan, namun beliau dalam keadaan yang stabil.
Sementara itu, dua kes lagi memerlukan pemantauan rapi dan selebihnya dalam keadaan baik dan stabil.
Dalam pada itu, Yang Berhormat Dato mengalu-alukan para penderma darah untuk tampil menderma darah bagi membantu meningkatkan bekalan yang sangat diperlukan di Tabung Darah, Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha.
Para penderma darah bolehlah menghubungi talian 2242424 sambungan 5745 untuk mendapatkan jadual perjanjian terlebih dahulu.
Kementerian Kesihatan pada masa ini masih giat menjalankan penyiasatan kontak bagi setiap kes. Setakat ini, seramai 1,013 orang telah diarahkan untuk menjalani kuarantin menurut Akta Penyakit Berjangkit Penggal 204.
Sementara itu, sejak wabak COVID-19 bermula pada awal Januari 2020, sebanyak 1,312 ujian makmal bagi COVID-19 telah dijalankan.
Mengulas mengenai pengumuman tegahan keluar negara bagi seluruh rakyat dan penduduk Brunei Darussalam yang berkuat kuasa hari ini, Yang Berhormat Menteri Kesihatan berkata, orang ramai yang memerlukan maklumat lanjut mengenainya boleh menghubungi talian 2235962 atau 2235953 dari 7:45 pagi hingga 4:30 petang pada hari-hari bekerja sahaja atau mengisikan borang A bagi pemegang kad pengenalan Negara Brunei Darussalam yang bukan warga perkhidmatan awam dan badan berkanun; Borang B bagi warga perkhidmatan awam dan badan berkanun dan Borang C bagi permohonan keluar negeri bagi syarikat perniagaan.
Borang-borang berkenaan boleh didapati menerusi laman sesawang Jabatan Perdana Menteri iaitu www.pmo.gov.bn dan e-mel kepada travelapplication@jpm.gov.bn, dengan menyertakan salinan dokumen-dokumen dukungan (scanned copies).
Untuk maklumat lanjut dan perkembangan terkini, orang ramai boleh melayari laman sesawang Kementerian Kesihatan iaitu www.moh.gov.bn atau menghubungi Talian Nasihat Kesihatan 148 (pada bila-bila masa).
Turut hadir pada sidang media berkenaan ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah; Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman; Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Ir Haji Suhaimi bin Haji Gafar; Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi, Yang Berhormat Dato Seri Setia Abdul Mutalib bin Pehin Orang Kaya Seri Setia Dato Paduka Haji Mohd Yusof; dan Timbalan Mufti Kerajaan, Dato Seri Setia Dr Haji Japar bin Haji Mat Dain @ Maidin.