4 kluster baharu dikesan

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 27 OKT – Sebanyak 115 kes baharu jangkitan COVID-19 telah dicatatkan di Negara Brunei Darussalam pada hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan kes kepada 12,710 orang.

Terdapat 46 tambahan kes baharu kepada 16 kluster aktif sedia ada yang merupakan kontak-kontak terdekat kepada beberapa kes positif sebelumnya, menurut Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar semasa sidang media di Kementerian Kesihatan, hari ini.

Yang Berhormat Dato turut mengongsikan bahawa terdapat empat kluster baharu telah dikesan yang melibatkan 14 kes.

“Kesemua kluster baharu ini merupakan kluster kediaman di mana satu daripadanya iaitu Kluster Makmur Jaya Construction Staff House adalah kluster rumah yang menempatkan pekerja-pekerja syarikat berkenaan,” jelasnya.

Dengan tambahan kluster baharu tersebut, tambah beliau, kini jumlah kluster yang aktif adalah sebanyak 174 kluster. Dalam pada itu, terdapat 55 kes baharu yang masih dalam siasatan bagi mengenal pasti sumber jangkitan.

Yang Berhormat Menteri Kesihatan seterusnya mengongsikan, 228 kes telah disahkan sembuh pada hari ini yang membawa jumlah kes sembuh di negara kepada 10,275 kes manakala itu, sejumlah 2,352 kes aktif.

Dalam kalangan kes-kes yang sedang dalam rawatan, menurut Yang Berhormat Dato, sembilan kes dalam kategori 5 dan sedang dirawat di unit rawatan intensif di mana kesemua mereka memerlukan bantuan mesin pernafasan (artificial ventilation) dengan tiga daripadanya juga memerlukan bantuan mesin tambahan heart-lung machine (ECMO).

“Sementara itu, 22 kes lain dikategorikan dalam kategori 4 iaitu yang memerlukan bantuan oksigen dan adalah di bawah pemantauan rapi,” tambah beliau.

Manakala itu, dalam tempoh 24 jam yang lalu, sebanyak 5,135 sampel telah diuji bagi virus SARS-CoV-2 yang membawa jumlah keseluruhan ujian makmal dijalankan sejak Januari 2020 kepada 487,898 ujian.

Yang Berhormat Dato turut menyentuh mengenai bekas pesakit COVID-19 yang telah selesai menjalani pengasingan diri dan disahkan sembuh dari jangkitan COVID-19. Beliau menasihatkan semua majikan bahawa bekas-bekas pesakit tersebut tidak perlu membuat ujian swab sebelum dibenarkan untuk bekerja semula.

“Bekas pesakit yang telah disahkan sembuh pada masa ini tidak akan menjangkiti orang lain,” jelasnya.