Saturday, April 26, 2025
24.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    4 kumpulan sertai Shell Eco-Marathon Asia

    Oleh Siti Nur Wasimah S.

     

    BANDAR SERI BEGAWAN, 14 Mac – Sebanyak empat buah kumpulan yang terdiri daripada 24 pelajar dari Universiti Brunei Darussalam (UBD), Universiti Teknologi Brunei (UTB), Politeknik Brunei dan Institut Pendidikan Teknikal Brunei (IBTE) hari ini berlepas ke Singapura untuk menyertai Shell Eco-Marathon Asia 2017 ke-8 yang berlangsung di Pusat Pameran Changi, selama lima hari bermula 15 Mac ini.

    Sebelum berlepas, Majlis Doa Selamat telah diadakan di Dewan Berlepas, Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei dan dihadiri oleh Naib Canselor UBD, Datin Dr. Hajah Anita Binurul Zahrina binti Pehin Orang Kaya Laila Wijaya Dato Seri Setia Haji Awang Abdul Aziz; Naib Canselor ITB, Profesor Madya Dr. Hajah Zohrah binti Haji Sulaiman; Pengarah Politeknik Brunei, Denis Ho Mun Tai dan Pengetua Pusat IBTE, Dr. Sheikh Lukman bin Sheikh Abdul Hamid serta wakil-wakil BSP, BSM dan juga Brunei Gas Carriers dan wakil-wakil penaja serta ahli keluarga delegasi Brunei.

    Shell Eco-Marathon Asia merupakan pertandingan yang diadakan untuk pelajar-pelajar kejuruteraan di seluruh rantau ASEAN bertanding dan menghasilkan kenderaan cekap tenaga.

    Para peserta akan bertanding bersama lebih 100 pasukan dari pelbagai institusi pendidikan di seluruh Asia yang akan beraksi untuk mempamerkan kereta paling efisien dan yang tidak menggunakan tenaga yang paling banyak dalam pelbagai kategori semasa acara itu nanti.

    Tahun ini, peserta dari Brunei akan mengikuti dua kategori iaitu Prototype, bagi kenderaan futuristik dan sangat aerodinamik dan Urban Concept bagi kenderaan yang sangat menjimatkan tenaga dan inovatif yang menyerupai kenderaan pada masa kini.

    Gambar ramai peserta empat buah kumpulan yang mewakili Negara Brunei Darussalam.
    Gambar ramai peserta empat buah kumpulan yang mewakili Negara Brunei Darussalam.

    Buat julung-julung kalinya, tahun ini Politeknik Brunei menyertai Pertandingan Shell Eco-Marathon Asia di bawah Kategori Prototype Battery-Electric.

    Menurut penyelia dari Politeknik Brunei, Pengiran Haji Mohd Alauddin bin Pengiran Haji Abdul Momin, yang juga pensyarah Sekolah Sains dan Kejuruteraan, kumpulan dari Politeknik Brunei telah membuat persediaan bermula pada bulan September tahun lepas.

    Katanya, seramai tujuh orang pelajar yang merangkumi kumpulan ini yang terdiri daripada empat orang pelajar mekanikal, dua orang pelajar elektrikal dan seorang pelajar bidang petroleum.

    Beliau berharap agar kumpulan dari Politeknik Brunei, walaupun kali pertamanya menyertai, akan dapat membawa pulang kejayaan dan memenangi pertandingan tersebut.

    Pengiran Haji Mohd Alauddin berkata, kenderaan yang direka ini mempunyai kelajuan purata sehingga 32kmj dan telah diuji oleh para pelajar sepanjang proses tersebut.

    Manakala itu, Kumpulan IBTE ‘Protocol Alpha’ ialah dari Sekolah Tenaga dan Kejuruteraan dan ini adalah merupakan kali ketujuh penyertaan IBTE.

    Bagi UBD pula, ini merupakan kali kelima mereka menyertainya dan tahun ini menampilkan kenderaan ‘GenNovative’35’ yang telah direka dan dirancang selama enam bulan.

    Sementara itu, ‘Pahlawan III’ dari UTB menampilkan kenderaannya dengan peningkatan yang lebih besar dalam bentuk estetika dan pilihan bahan yang diilhamkan daripada falsafah aluminium pembuat kenderaan Jaguar tentang mewujudkan reka bentuk yang lebih keras, lebih kuat, lebih selamat dan lebih dipercayai.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda