4 lagi pos kawalan bakal beroperasi di Sarawak

SERIKIN, SARAWAK, 22 FEB – Kawalan keselamatan di sempadan Malaysia-Indonesia di Sarawak dijangka semakin kukuh dengan penambahan empat pos kawalan baharu yang dijadualkan beroperasi pada Ogos tahun ini, kata Panglima Tentera Darat Jen Tan Sri Zamrose Mohd Zain.

Beliau berkata pengoperasian empat pos tersebut akan menjadikan keseluruhan 19 pos kawalan di negeri itu yang sekali gus dapat mengimbangi kawalan di antara sempadan Sarawak dan Kalimantan, wilayah Indonesia.

Sementara itu, beliau berkata penambahan aset Angkatan Tentera Malaysia mampu memperkukuhkan lagi kekuatannya di kawasan Medan Timur terutamanya di Sarawak dalam operasi kawalan sempadan seperti Op Benteng bagi mengekang penularan COVID-19 di Malaysia.

Katanya aset-aset seperti kenderaan pacuan empat roda, kenderaan lasak pelbagai bentuk muka bumi dan motosikal lasak memudahkan kerja  pemantauan serta mempercepatkan mobiliti di kawasan sempadan yang sukar diakses. – Bernama

Panglima Tentera Darat Tan Sri Zamrose Mohd Zain mencuba kenderaan TGV Blade 600 selepas penyerahan Aset Op Benteng. – Bernama