MANILA, 23 April – Empat lelaki bersenjata telah dibunuh di sebuah pulau pelancongan Filipina ketika kerajaan berusaha menghapuskan saki baki kumpulan militan yang menjadi dalang dalam cubaan gagal untuk melakukan penculikan besar-besaran di sana, kata pihak berkuasa hari ini.
Menurut kerajaan, semua suspek yang maut itu terpisah daripada bot sekumpulan bersenjata Abu Sayyaf yang belayar ke kepulauan Bohol awal bulan ini, dalam komplot menculik pelancong.
Serbuan menunjukkan wujud peningkatan ancaman penculikan daripada Abu Sayyaf yang berpangkalan di pulau terpencil yang juga dipersalahkan atas tindakan memenggal kepala tebusan dan pengeboman maut.
“Keganasan tidak mendapat tempat di rantau (tengah) Visayas,” kata pihak tentera dan polis dalam satu kenyataan bersama ketika mengumumkan kematian empat suspek penculik itu di Bohol, semalam.
Pihak tentera kini memburu tujuh lelaki bersenjata yang masih bebas, termasuk tiga suspek yang melarikan diri dalam pertempuran terbaru. – AFP