4 maut, 3 cedera kejadian tembakan

WASHINGTON, 28 DIS – Seorang lelaki bersenjata membunuh empat orang dan mencederakan tiga yang lainnya, termasuk seorang pegawai polis kelmarin selepas melepaskan tembakan di beberapa buah lokasi di seluruh Colorado sebelum ditembak mati, kata polis Amerika Syarikat (AS).

Kejadian berlaku kira-kira 5 petang dan dilakukan di sekurang-kurangnya empat lokasi berbeza di bandar Denver dan Lakewood, kata polis pada sidang media lewat malam.

Dua wanita terbunuh manakala seorang lelaki tercedera di lokasi pertama di Denver, sementara seorang lagi lelaki ditembak mati, menurut kenyataan polis itu.

Lelaki bersenjata itu kemudiannya pergi ke Lakewood yang berdekatan di mana dia menembak mati seorang lelaki dan mencederakan individu yang lain.

Pegawai Lakewood dapat mengenal pasti penembak ketika dia berpindah lokasi.

“Kejadian berbalas tembakan berlaku dengan ejen kami, dan pelaku berjaya ditumpaskan,” kata jurucakap polis Lakewood, John Romero, menambah lelaki bersenjata itu ‘diumumkan mati di tempat kejadian’.

Seorang pegawai Lakewood telah ditembak dan cedera semasa kejadian.

“Ejen tersebut sekarang ini berada di hospital sedang dalam pembedahan,” kata Romero.

Motif penembak tersebut tidak diketahui, dan siasatan terhadap kejadian itu masih lagi dijalankan. – AFP

Anggota polis menutup jalan selepas kejadian tembakan yang berlaku di Colorado dan meragut empat jiwa dan mencederakan tiga yang lain. – AP