4 maut dalam insiden tembakan

ISLAMABAD, 10 JULAI – Dua insiden tembakan yang berlaku petang semalam di bandar pelabuhan Karachi yang terletak di selatan Pakistan menyebabkan empat orang maut, termasuk seorang peneraju TV terkenal, lapor agensi berita China Xinhua memetik laporan berita tempatan.

Menurut media, lelaki bersenjata yang menaiki sebuah motosikal melepaskan tembakan rambang ke arah kenderaan peneraju TV Murid Abbass di premis Pihak Berkuasa Perumahan Pertahanan Karachi. Abbass dan rakannya, yang berada dalam kenderaan itu, cedera parah dan telah dikejarkan ke Hospital Abbasi Shaheed di mana mereka meninggal dunia akibat kecederaan semasa menerima rawatan, menurut laporan tersebut.

Dalam insiden berasingan, sekumpulan lelaki bersenjata yang menaiki sebuah kereta, telah melepaskan tembakan ke arah sebuah restoran, menyebabkan dua orang terbunuh manakala seorang lagi cedera. – Bernama