4 maut dalam tembakan

KOLKATA, 9 JUN – Tiga penyokong parti sayap kanan pemerintah India dan seorang lagi dari parti serantau telah terbunuh dalam pertempuran di negeri Bengal Barat, kata polis dan ahli politik tempatan hari ini.

Sekurang-kurangnya 18 orang lain cedera dalam pertempuran yang meletus semalam di negeri timur yang telah dibelenggu kebimbangan sejak Parti Bharatiya Janata (BJP) pimpinan Perdana Menteri Narendra Modi melancarkan kempen agresif untuk memenangi kerusi parlimen pada tahun lalu.

“Tiga antara yang terbunuh merupakan pekerja BJP sementara seorang lagi adalah penyokong parti Trinamool,” beritahu seorang pegawai polis kepada AFP.

Pemimpin BJP tempatan Mukul Roy menulis di Twitter bahawa tiga pekerja BJP “ditembak mati” di Sandeshkhali, Bengal Barat. Penyokong yang bersaing sering bertempur di negeri itu di mana BJP memenangi 18 kerusi, meningkat daripada dua yang dimenangi pada 2014, dalam kemenangan di seluruh negara bulan lalu. Pertempuran terbaharu meletus berhubung pengibaran bendera BJP dan poster, kata setiausaha agung BJP di negeri itu, Sayantan Basu.

“Mereka cuba membuang bendera parti dan poster kami dan apabila kami membantah, pekerja kami ditembak dari jarak dekat,” Basu dipetik sebagai berkata oleh akhbar Press Trust of India (PTI). – AFP