MANILA, 28 APRIL – Seorang pelancong Austria dan tiga rakyat tempatan maut selepas jambatan berusia beberapa dekad runtuh di wilayah Bohol tengah Filipina pada petang kelmarin, lapor Xinhua.
Polis berkata lelaki Austria berusia 30 tahun itu antara penumpang dalam 12 kenderaan yang terjunam ke dalam sungai sekitar 4 petang waktu tempatan di bandar Loay wilayah Bohol.
Lebih 20 mangsa yang lain terselamat termasuk isteri pelancong Austria itu, rakyat tempatan.
Jambatan itu, dibina pada 1970an dan terletak di bandar Loay, pernah rosak akibat gempa bumi pada 2013 dan telah dibaiki, kata pegawai tempatan.
Gabenor Bohol Arthur Yap dalam hantaran di media sosial mendakwa jambatan itu runtuh akibat lebihan muatan.
Ketua polis serantau, Jeneral Briged Roque Eduardo Vega berkata siasatan awal menunjukkan jambatan itu tidak dapat menampung beban berat kenderaan yang tersekat dalam kesesakan lalu lintas termasuk sebuah trak membawa muatan pasir dan tanah yang digunakan untuk pembinaan dekat jambatan tersebut. – Bernama/AP