4 Maut kereta api terjunam

DHAKA, 24 JUN – Empat orang maut dan 100 lagi tercedera di Bangladesh selepas kereta api terjunam ke dalam terusan kerana jambatan yang dilaluinya runtuh hari ini.

Pegawai setempat berkata, sebahagian jambatan berkenaan runtuh ketika kereta api ekspres itu melaluinya, menyebabkan lima gerabak terhumban, dengan satu daripadanya tercampak ke dalam air.

Beratus-ratus penumpang terperangkap dalam kemalangan yang berlaku di Kalaura, 300 kilometer dari Dhaka.

Penduduk tempatan menyertai pasukan bomba dan polis mengeluarkan mayat dan mangsa tercedera daripada bangkai gerabak, kata superintenden polis, Rashidul Hasan.

Seramai 21 mangsa yang cedera dibawa ke hospital di Sylhet, bandar raya terdekat, dalam keadaan serius.

Berikutan dengan insiden itu, perkhidmatan kereta api dari Dhaka ke barat laut Bangladesh dihentikan.

Kemalangan kereta api merupakan insiden yang sering berlaku di negara ini berikutan dengan kemudahan trafik yang lemah dan landasan yang kurang memuaskan. – AFP

Penduduk setempat berkumpul di kawasan di mana sebuah kereta api terjunam ke dalam terusan kerana jambatan yang dilaluinya runtuh di Kalaura, kelmarin. – AFP