PHNOM PENH, 7 DIS – Secara purata sekurang-kurangnya empat orang terbunuh dan 11 mengalami kecederaan setiap hari dalam kemalangan jalan raya di Kemboja, menurut Menteri Dalam Negeri, Sar Kheng, hari ini.
“Kira-kira 79 peratus mangsa yang maut adalah penunggang motosikal, dan 74 peratus daripadanya tidak memakai topi keledar,” katanya semasa ucapan sempena Memperingati Mangsa-mangsa Lalu Lintas Jalan Raya Sedunia.
“Punca utama kemalangan jalan raya adalah memandu melebih had kelajuan, diikuti dengan enggan memberikan laluan dan tidak memandu di laluan yang betul,” tambahnya.
Kheng, yang juga merupakan Timbalan Perdana Menteri Kemboja, menyeru kepada penunggang motosikal untuk memakai topi keledar dengan betul, dan para pemandu untuk memakai tali pinggang keledar.
Beliau berkata topi keledar dan tali pinggang keledar sangat penting untuk melindungi nyawa sekiranya berlaku kemalangan.
Kemalangan jalan raya merupakan punca utama kematian dan kecederaan, menyebabkan kerugian kira-kira AS$446 juta setahun, menurut laporan bersama yang dikeluarkan oleh Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PPB) di Kemboja dan Jawatankuasa Keselamatan Jalan Raya Kebangsaan pada tahun lalu.
Kemboja mencatatkan 1,342 kematian dan 2,004 kecederaan serius dalam kemalangan jalan raya semasa sembilan bulan pertama tahun 2022, menurut Jawatankuasa Keselamatan Jalan Raya Kebangsaan. – Xinhua