Thursday, April 25, 2024
27.9 C
Brunei

    -

    4 mualaf terpilih wakili Daerah Belait

    Oleh Yusrin Junaidi

    BANDAR SERI BEGAWAN, 12 JUN – Musabaqah Murattal Al-Quran dan Menghafaz Ayat-ayat Lazim bagi Mualaf Senegara bagi Peringkat Daerah Belait telah diadakan di Dewan Serbaguna, Sekolah Ugama Paduka Seri Begawan Sultan Omar ‘Ali Saifuddien, Kuala Belait, kelmarin.

    Pertandingan menyaksikan Awang Muhammad Nur Aisamuddin bin Muhammad Hanafi dan Hajah Norainie binti Abdullah masing-masing menjadi johan peserta lelaki dan perempuan bagi Kategori Murattal Al-Quran.

    Sementara itu, Awang Muhammad Dzulkarnain Hamzah bin Abdullah Tingub dan Dayang Nur Raihana binti Muhammad Hanafi masing-masing muncul johan bagi peserta lelaki dan perempuan dalam Kategori Menghafaz Ayat-Ayat Lazim.

    Hadir selaku tetamu kehormat bagi menyampaikan hadiah dan sijil penghargaan kepada para pemenang dan peserta ialah Ketua Pegawai Ugama Daerah Belait, Pejabat Hal Ehwal Ugama Daerah Belait, Awang Mohamad Aliyani bin Ismail.

    Johan bagi setiap kategori akan mewakili Daerah Belait di peringkat negara yang akan diadakan kemudian.

    Salah seorang peserta semasa musabaqah Al-Quran yang telah diadakan di Dewan Serbaguna, Sekolah Ugama Paduka Seri Begawan Sultan Omar ‘Ali Saifuddien, Kuala Belait, baru-baru ini.

    Seramai 17 orang mualaf telah menyertai musabaqah peringkat Daerah Belait berkenaan yang dikendalikan oleh Unit Dakwah Daerah Belait, Pusat Dakwah Islamiah dengan kerjasama Persatuan Sinar Islam (PSI) Daerah Belait.

    Bagi Kategori Murattal Al-Quran, peserta-peserta lelaki membaca Surah An-Nur dan Surah Al-Mu’minun manakala peserta perempuan membaca Surah Al-Isra dan Surah Yunus.

    Bagi Kategori Menghafaz Ayat-Ayat Lazim pula, para peserta memperdengarkan kebolehan masing-masing membaca Surah Ad-Dhuha, Surah Al-‘Adiyat, Surah At-Tin, Surah Asy-Syarh, Surah Al-Ma’un dan Surah Az-Zalzalah serta bacaan-bacaan wajib dalam sembahyang.

    Antara objektif musabaqah adalah untuk menggalakkan para mualaf supaya sentiasa membaca Al-Quran, menghafaz dan memahami maksud yang terkandung dalam Al-Quran.

    Selain itu, ia juga untuk melahirkan para mualaf yang berlumba-lumba mencari ilmu bersumberkan Al-Quran serta memperkasa mualaf dalam bidang pembacaan Al-Quran dan menghafaz ayat-ayat Al-Quran dan menjadikannya sebagai amalan seharian.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gangguan bekalan elektrik, pelepasan air terawat Fukushima digantung

    TOKYO, 24 APRIL - Pelepasan air sisa terawat ke lautan dari loji nuklear Fukushima yang rosak telah digantung hari ini berikutan gangguan bekalan elektrik...