4 negara ASEAN mula puasa hari ini

ASEAN, 12 APRIL – Empat negara ASEAN, Malaysia, Singapura, Indonesia dan Thailand akan mula berpuasa esok selepas pengumuman di empat negara tersebut.

Di Malaysia, penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad mengumumkan umat Islam di Malaysia berpuasa esok seperti ditetapkan menurut perintah Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah setelah diperkenan oleh Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja.

Pengumuman itu disiarkan secara langsung menerusi Radio Televisyen Malaysia (RTM) malam ini selepas proses melihat anak bulan Ramadan berlangsung di 29 lokasi di seluruh Malaysia.

Manakala umat Islam di Singapura turut meraikan puasa pada tarikh yang sama iaitu 13 April berdasarkan pengumuman oleh Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) selepas rukyah dan hisab bahawa anak bulan Ramadan kelihatan pada petang ini selepas matahari terbenam kira-kira 16 minit.

Dalam kenyataan dipetik dari Channel News Asia, Mufti Singapura, Dr Naziruddin Mohd Nasir mengucapkan selamat berpuasa kepada umat Islam Singapura.

Pencerapan anak bulan di Wilayah Persekutuan, Malaysia bagi menetapkan tarikh permulaan puasa Ramadan 1442H/2021. Empat buah negara ASEAN puasa serentak bermula 13 April. – Bernama

Di Jakarta, Menteri Agama Indonesia Yaqut Cholil Qoumas dalam sidang media menerusi webinar malam ini, mengumumkan tarikh 1 Ramadan 1442 Hijrah adalah bersamaan 13 April 2021.

Pengumuman itu dibuat selepas persidangan Isbat (persidangan penentuan tarikh Ramadan) yang dilakukan menerusi sidang video antara pegawai-pegawai kementerian, Majlis Agama Islam Indonesia dan anggota Dewan Perwakilan Rakyat Indonesia.

Pemerintahan Indonesia juga membenarkan umat Islam menunaikan solat tarawih di masjid, menerusi protokol kesihatan COVID-19 yang ketat, dan jumlah jemaah yang dihadkan (50 peratus daripada kapasiti masjid).

Umat Islam di Thailand turut mengerjakan ibadah puasa pada tarikh sama, menurut menurut Pejabat Sheikhul Islam Thailand.

Ketua Sheikhul Islam Thailand Aziz Pitakkumpol mengumumkannya secara langsung melalui satu siaran langsung di televisyen dan radio di Thailand. – Bernama/CNA