4 negara uji penyelesaian mata wang digital bank pusat

KUALA LUMPUR, 2 SEPT – Bank pusat di Australia, Malaysia, Singapura dan Afrika Selatan akan bekerjasama untuk menguji penggunaan mata wang digital bank pusat (CBDC) bagi penyelesaian antarabangsa, kata bank-bank terlibat hari ini.

Diketuai oleh Hab Inovasi Singapura, projek itu bertujuan untuk membangunkan prototaip platform yang dikongsi bersama untuk urus niaga rentas sempadan menggunakan pelbagai CBDC, kata kenyataan bersama Bank for International Settlements Innovation Hub, Reserve Bank of Australia, Bank Negara Malaysia, Monetary Authority of Singapura dan South African Reserve Bank.

Menurut bank-bank terbabit, platform multi-CBDC ini akan membolehkan institusi kewangan melakukan transaksi secara terus antara satu sama lain dalam mata wang digital yang dikeluarkan oleh peserta, yang tidak memerlukan pihak pengantara serta dapat mengurangkan masa dan kos transaksi, lapor Xinhua.

Kenyataan itu turut mengatakan projek itu akan bekerjasama dengan pelbagai rakan kongsi bagi membangunkan prototaip teknikal pada platform teknologi lejar teragih yang berbeza.

Mereka juga akan mengkaji rancangan tadbir urus dan operasi yang berlainan bagi membolehkan bank-bank pusat berkongsi infrastruktur CBDC, serta mendapat manfaat daripada kerjasama antara pakar sektor awam dan swasta daripada pelbagai bidang kuasa dan bidang operasi, tambah kenyataan itu. – Bernama