SINGAPURA, Jan 15 – Empat negeri lagi masih belum mencuba untuk memasarkan produk makanan berasaskan agro menerusi Agrobazaar Malaysia di Singapura. “Negeri-negeri itu adalah Sabah, Sarawak, Perlis dan Selangor,” kata Pengurus Besar Agrobazaar Malaysia Noor Hisham.
Beliau berkata Agrobazaar Malaysia sentiasa bersedia menjadi platform kepada negeri-negeri ini untuk mempromosi dan memasarkan produk makanan berasaskan agro mereka.
“Negeri-negeri ini harus mengambil kesempatan bagi memasuki pasaran Singapura kerana sambutan amat menggalakkan,” katanya semasa ditemui di Malaysia Halal Centre, salah satu platform jualan produk tempatan bertempat di dalam Big Box Hypermarket, di sini, Sabtu.
Noor Hisham berkata Malaysia Halal Centre sahaja menyediakan kira-kira 4,000 kaki persegi ruangan di Big Box Hypermarket bagi tujuan memasarkan produk keluaran Malaysia.
“Ia merupakan keluasan terbesar berbanding negara-negara lain seperti Jepun, Korea dan China yang turut memasarkan produk-produk mereka di dalam Big Box ini,” katanya.
Menurutnya, dengan penambahan platform jualan seperti Malaysia Halal Centre ini, Agrobaazar Malaysia menyasarkan kenaikan jualan sebanyak 30 peratus bagi tahun ini dengan 800 unit penyimpanan stok (SKU).
Beliau berkata sejak Agrobazaar Malaysia beroperasi pada Ogos 2014 di republik ini, ia telah mencatatkan purata jualan RM4.5 juta setahun.
Ia bermula dengan 100 SKU dan kini bertambah kepada 600 SKU, katanya.
Agrobazaar Malaysia adalah entiti dimiliki Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) yang bertindak sebagai pusat jualan dan promosi di Singapura untuk produk industri berasas-kan tani dari semua negeri di Malaysia.
Bagi tahun 2016 sahaja, Agrobazaar Malaysia telah menjadi tempat bagi beberapa negeri seperti Melaka dan Terengganu untuk memasarkan produk berasaskan tani masing-masing.
Sementara itu, Timbalan Pengarah Operasi FAMA, Datuk Sharifah Hashim berkata, FAMA telah menambah tiga platform jualan baharu untuk mengetengahkan produk usahawan tempatan di negara ini.
Kesemua platform jualan tersebut iaitu Global Halal Hub, Mustafa Centre dan Cold Storage telah beroperasi secara berperingkat bermula September tahun lalu. Sehubungan itu, katanya, FAMA kini mempunyai lima platform jualan untuk memperkenalkan produk usahawan tempatan di Kota Singa itu.
“Menerusi usaha berterusan ini, kita berusaha melebarkan sayap untuk memperluaskan pasaran produk kita di negara ini dan peringkat antarabangsa,” katanya.
FAMA telah membuka Agrobazaar Malaysia di Jalan Sultan Gate sebagai pusat pengedaran pada 2014 dan Malaysia Halal Centre di Big Box Hypermarket April lalu. Sharifah berkata, nilai eksport produk makanan berasaskan agro Malaysia di Singapura pada 2015 berjumlah kira-kira RM5 bilion dan angka tersebut dijangka terus meningkat.
“Oleh itu, usahawan tempatan digesa merebut peluang untuk memasarkan produk mereka bersama FAMA di Singapura yang mana kita masih mempunyai ruang jualan sekali gus menambah pendapatan dan jenama mereka di peringkat antarabangsa,” ujarnya.
Terkini, Majlis Pembangunan Bumiputera Pulau Pinang dengan kerjasama Agrobazaar Malaysia melancarkan Seri Pinang Fest bagi memasarkan lebih 50 SKU di bawah jenama Seri Pinang. – Bernama