Saturday, April 26, 2025
24.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    4 pasukan negara berentap di Shell Eco-Marathon Asia

    BANDAR SERI BEGAWAN, 17 Mac – Empat pasukan Negara Brunei Darussalam kini berentap dalam Shell Eco-Marathon Asia yang sedang berlangsung di Pusat Pameran Changi, Singapura di mana ia telah bermula 15 Mac lalu hingga 19 Mac ini.

    Pertandingan tahunan yang mencabar pasukan-pasukan dengan membina dan memandu kereta-kereta paling cekap tenaga itu diadakan buat pertama kalinya di Singapura.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan Syarikat Minyak Brunei Shell Sdn Bhd (BSP), lebih 120 pasukan dari 20 buah negara bertanding dalam dua kategori, Prototype (kenderaan-kenderaan futu-ristik dan sangat aerodinamik) dan Urban Concept (kenderaan menjimatkan tenaga yang menyerupai kereta hari ini).

    Pelajar-pelajar berkenaan bertanding dalam tiga kategori berdasarkan sumber tenaga yang mereka pilih iaitu Enjin Pembakaran Dalaman (ICE) yang termasuk gasolin, diesel, etanol (bahan api bio), bahan api Gas ke Cecair (GTL) yang diperbuat daripada gas semula jadi dan CNG (gas semula jadi mampat), sel bahan api hidrogen dan tenaga elektrik bateri.

    Kenyataan turut menyatakan bahawa buat pertama kalinya, edisi Asia ke-8 dalam pertandingan inovasi pelajar berkenaan telah mengalu-alukan penyertaan dari New Zealand.

    Bacaan doa diadakan sebelum pemeriksaan kereta dimulakan.
    Bacaan doa diadakan sebelum pemeriksaan kereta dimulakan.
    Pasukan UBD bergambar ramai semasa Pertandingan Shell Eco-Marathon Asia di Singapura.
    Pasukan UBD bergambar ramai semasa Pertandingan Shell Eco-Marathon Asia di Singapura.

    Tahun ini, Brunei diwakili oleh empat pasukan dari Universiti Brunei Darussalam (UBD), Universiti Teknologi Brunei (UTB), Politeknik Brunei dan Institut Pendidikan Teknikal Brunei (IBTE).

    Penyertaan negara dalam pertandingan berkenaan disokong oleh BSP dengan kerjasama Kementerian Pendidikan menerusi Jabatan Pendidikan Teknikal, UBD dan UTB.

    Pasukan negara berkenaan telah selamat tiba di Singapura Selasa lalu dan segera mempersiapkan kenderaan-kenderaan mereka bagi siri pemeriksaan teknikal dan keselamatan yang amat sukar, yang diwajibkan sebelum mereka dapat memasuki trek perlumbaan.

    Perlumbaan berkenaan bukan sekadar pasukan mana yang sampai ke garisan penamat terlebih dahulu atau kenderaan mana paling laju, tetapi ia melihat kenderaan mana yang dapat pergi jauh dan pada masa yang sama menggunakan bahan api paling sedikit.

    Gennext Pejuang UBD adalah pasukan Brunei yang pertama melepasi semua pemeriksaan berkenaan dan dengan bangga membawa bendera kebangsaan semasa majlis pembukaan yang diadakan pagi tadi.

    Pembukaan rasmi acara berkenaan telah disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri Singapura, Teo Chee Hean.

    Pasukan-pasukan Brunei yang lain, ERT17 (UTB), Alpha Protocol (IBTE) dan penyertaan pertama dari Politeknik Brunei telah berjaya melalui pemeriksaan teknikal dan keselamatan.

    Dengan kejayaan itu sahaja sudah menjadi satu pencapaian bagi semua pasukan yang mewakili Brunei.

    Pasukan-pasukan berkenaan telah berjaya menghadapi cabaran dan menunjukkan semangat kuat setelah mengatasi masalah-masalah semasa pemeriksaan teknikal sebelumnya.

    Ketua pasukan bagi UTB, Awangku Mohd Hakimmuddin bin Pengiran Haji Hassanuddin dipetik sebagai berkata, “Bagi UTB, pemeriksaan teknikal adalah sukar. Kami fikir kenderaan kami cukup bersedia bagi pemeriksaan. Kami mempunyai masalah dengan rekaan brek kami di mana pemeriksa teknikal tidak berpuas hati dengan kedudukan tuil brek kami.”

    Bagaimanapun, tambahnya, pasukan mereka tidak teragak-agak untuk mengimprovisasi sistem brek mereka.

    Menurutnya lagi, dari segi elektrik, pemeriksa teknikal sangat tegas mengenai butiran keselamatan dan ketepatan dokumentasi. Sementara itu, Ketua Perhubungan dan Tajaan bagi Gennext Pejuang UBD, Dayang Nazurah Noor pula berbangga dengan pasukannya yang telah berjaya melalui pemeriksaan teknikal sekali lalu sahaja.

    Ini, katanya adalah satu pencapaian bagi penyertaan UBD dalam pertandingan berkenaan kerana menurutnya, sejak 2012, pemeriksaan teknikal adalah bahagian paling penting dan sukar dalam pertandingan itu,

    “Terdapat pasukan-pasukan yang hanya berjaya melepasi pemeriksaan teknikal pada hari terakhir atau tidak lulus langsung,” jelasnya lanjut.

    Katanya, pencapaian UBD adalah di-sebabkan persiapan rapi pasukan dan telah mengambil pengalaman dan pengetahuan daripada penyertaan-penyertaan sebelumnya. Untuk pertandingan esok, mereka bermatlamat untuk merekodkan masa rasmi dan memperbaiki rekod mereka sebelumnya.

    Sebelumnya, semasa pertandingan di Manila, pasukan UBD menduduki tempat ketiga teratas Kategori Prototaip Sel Bahan Api Hidrogen dengan percubaan terbaik mereka menyamai 186.8km, kira-kira sama jaraknya dari Jerudong ke Kuala Belait dan kembali semula, dengan hanya menggunakan m3 hydrogen.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda