Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 23 SEPT – Empat orang pelanggan bertuah Lexus yang mencatatkan masa terpantas dalam perlumbaan kereta kawalan jauh membawa pulang hadiah utama bagi Promosi The Peak of Driving Meets The Pinnacle of Racing.
Pelanggan-pelanggan bertuah berkenaan menerima hadiah mereka pada majlis cabutan bertuah dan penyampaian hadiah di Dewan Pameran Lexus, Gadong, hari ini.
Para pemenang, iaitu Dr Nurhikmahtul, Sim Chung Long, Andy Ngu dan Lim Cheng Kiat, masing-masing membawa pulang pakej ke perlumbaan Grand Prix di Singapura termasuk tiket penerbangan dan hotel penginapan.
Hadiah-hadiah utama promosi dan hadiah bagi pemenang tempat kelima hingga ke-10 telah disampaikan oleh Pengarah Urusan NBT, Haji Ahmad Omar bin Pehin Dato Haji Husin.
Sementara itu, 20 hadiah bagi pelanggan bertuah yang lain telah disampaikan oleh Penolong Pengurus Besar Lexus, Awang Muhammad Clovien bin Abdullah Timpoh.
Salah seorang pemenang hadiah utama, Andy Ngu dalam temu bual ringkas bersama Media Permata menyatakan perasaan gembira dan terkejut kerana terpilih sebagai salah seorang daripada empat orang pemenang.
Menurutnya lagi, ia merupakan kali pertama baginya memenangi hadiah dalam acara cabutan bertuah dan menyatakan penghargaan kepada pihak NBT atas penganjuran promosi berkenaan.
Semasa promosi itu, pelanggan yang telah membuat pembelian bagi mana-mana model kenderaan Lexus baharu dari 1 Ogos hingga 18 September berpeluang untuk memenangi hadiah utama dan pelbagai hadiah-hadiah menarik.
Ia diadakan sebagai usaha untuk terus menyediakan pengalaman yang menakjubkan kepada pelanggan-pelanggan Lexus dengan menawarkan hadiah-hadiah yang menarik.