4 perlumbaan F1 ditambah musim 2020

PARIS, 25 OGOS – Empat perlumbaan Grand Prix, di Turki, Bahrain (dua) dan Abu Dhabi, telah dimasukkan ke dalam kalender perlumbaan Formula Satu 2020, tetapi perlumbaan GP China yang tertunda telah dibatalkan, menurut pengumuman yang keluarkan oleh penganjur F1 hari ini.

Penambahan empat perlumbaan dan pembatalan Grand Prix China telah menjadikan perlumbaan keseluruhan kepada 17 untuk musim ini.

“Kami boleh mengesahkan bahawa Turki, Bahrain (menganjurkan dua perlumbaan), dan Abu Dhabi akan mengambil bahagian dalam musim yang telah dikaji semula dan kami ingin mengucapkan terima kasih atas kerja keras para promoter dan rakan-rakan kami dalam menjadikan 17 perlumbaan musim ini menjadi kenyataan,” menurut kenyataan penganjur.

Formula satu kembali di Turki buat kali pertama sejak 2011, dengan Grand Prix Turki akan diadakan di Istanbul Park pada 15 November.

Ini diikuti oleh dua perlumbaan berturut-turut di Bahrain, dengan Grand Prix Bahrain diadakan pada 26 November dan Grand Prix Sakhir pada 6 Disember.

Penganjur F1 mengesahkan bahawa empat perlumbaan Grand Prix telah dimasukkan ke dalam kalender perlumbaan Formula Satu 2020 musim ini. – AP

Grand Prix Abu Dhabi yang termasuk di dalam perlumbaan musim ini akan mengambil tempat di Litar Yas Marina pada 13 Disember.

Penganjur Formula Satu menambah bahawa “beberapa perlumbaan yang telah dikaji semula bagi musim 2020 akan dibukakan untuk kehadiran peminat tetapi dalam jumlah yang terhad, termasuk hospitaliti dan mereka sedang bekerjasama dengan pihak promoter untuk menyiapkan segala butiran.”

“Sementara kita mahu menyaksikan lebih ramai peminat untuk kembali dengan secepat mungkin, jika keadaan selamat untuk berbuat demikian, keutamaan kami kekal untuk menjaga keselamatan komuniti Formula Satu dan komuniti yang kita lawati dan kami sedang mengkaji akses peminat dalam setiap aspek.

“Disebabkan oleh ancaman berterusan COVID-19, kami akan terus mengawal secara lebih dekat bersama promoter dan pihak berkuasa setempat untuk memastikan kami beroperasi dalam cara yang paling selamat dan memantau situasi setiap negara dengan lebih dekat – termasuk sekatan perjalanan dan prosedur kesihatan setempat.” – AFP