4 pesakit COVID-19 meninggal dunia

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 4 OKT – Empat lagi kes yang telah disahkan positif COVID-19 di Negara Brunei Darussalam telah kembali ke rahmatullah, pada hari ini.

“Kes 7766, seorang lelaki berumur 51 tahun dan Kes 7229, seorang perempuan berumur 82 tahun telah mengalami masalah paru-paru setelah dijangkiti COVID-19.

“Manakala, Kes 3000 seorang lelaki berumur 40 tahun dan Kes 4043 seorang perempuan berumur 70 tahun telah mengalami beberapa masalah kesihatan dan tidak dikategorikan sebagai kematian disebabkan COVID-19,” jelas Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar semasa sidang media di Kementerian Kesihatan, hari ini.

Sementara itu, Yang Berhormat Dato turut mengongsikan bahawa punca kematian bagi Kes 6997 yang sebelum ini di bawah siasatan telah disahkan sebagai kematian disebabkan jangkitan COVID-19.

Dengan yang demikian, kini Negara Brunei Darussalam telah mencatatkan 38 kes kematian yang disebabkan oleh COVID-19. Di kesempatan itu, Yang Berhormat Dato mewakili warga Kementerian Kesihatan dan keseluruhan rakyat Negara Brunei Darussalam mengucapkan takziah kepada keluarga kes-kes berkenaan.

“Semoga roh mereka dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama para solihin. Al-Fatihah.”