4 peserta MABIMS perdengar hafalan

Oleh Salawati Haji Yahya

BANDAR SERI BEGAWAN, 20 Mei – Seramai empat orang peserta dari empat buah negara anggota MABIMS bagi Kategori Menghafaz 10 Juzuk Al-Quran berserta Pemahaman Juzuk 9, hari ini memperdengarkan hafalan masing-masing pada hari pertama Majlis Musabaqah Menghafaz Al-Quran berserta Pemahamannya Peringkat Negara Anggota MABIMS bagi Tahun 1440 Hijrah di Dewan Musyawwarah, Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas.

Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis tersebut ialah Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman.

Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang dikepalai oleh Pemangku Timbalan Pengetua Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah (ITQSHHB), Haji Mohd Sujairi bin Haji Dollah, diikuti dengan para peserta memperdengarkan bacaan masing-masing.

Pemangku Pengetua ITQSHHB, Pengiran Haji Amiruddin bin Pengiran Haji Damit selaku pengerusi bersama musabaqah dalam ucapan alu-alunya menjelaskan bahawa musabaqah ini merupakan penganjuran kali ke-6 di negara ini yang dikendalikan oleh Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU).

“Musabaqah ini dikendalikan oleh KHEU melalui Pusat Pengajian dan Penyebaran Al-Quran MABIMS dengan kerjasama Bahagian Kemajuan Syiar Islam, Bahagian Antarabangsa MABIMS dan ITQSHHB,” jelasnya.

Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bersama tetamu khas yang lain.
Peserta musabaqah bagi Kategori Menghafaz 10 Juzuk Al-Quran berserta Pemahaman Juzuk 9 memperdengarkan bacaan mereka.

Peserta pertama yang memperdengarkan bacaan pada musabaqah tersebut ialah peserta dari Republik Indonesia yang diwakili oleh Raihana Hilmy Kameela, diikuti peserta dari negara Malaysia, Ummi Najdah binti Abdul Samad.

Peserta dari Brunei yang diwakili oleh Awang Muhammad Azib bin Muhammad Azim kemudiannya menyusuli bagi memperdengarkan bacaan dan diikuti oleh peserta terakhir dari Republik Singapura, Sumaiya binti Mohamed Faiz Maricar.

Pada tahun ini, dua kategori dipertandingkan di peringkat negara anggota MABIMS iaitu Kategori Menghafaz 10 Juzuk Al-Quran berserta Pemahaman Juzuk 9 dan Kategori Menghafaz 30 Juzuk Al-Quran berserta Pemahaman Juzuk 23.

Antara lain tujuan musabaqah ini diadakan adalah bagi membantu mencapai visi dan misi MABIMS, di samping dapat mewujudkan kerjasama di kalangan negara anggota MABIMS dalam bidang pengajian dan penyebaran Al-Quran.

Selain itu, ia juga dapat mengeratkan hubungan integrasi terutama dalam bidang Al-Quran dalam menyatukan perpaduan ummah melalui Al-Quran yang menjadi sumber kejayaan dan kegemilangan di dunia dan akhirat serta merangsang generasi muda dan belia ke arah penerimaan Al-Quran daripada aspek penjagaan hafazan serta penghayatan Al-Quran.

Sementara itu, Kategori Menghafaz 30 Juzuk Al-Quran berserta Pemahaman Juzuk 23 akan dipertandingkan pada hari kedua dan diikuti dengan majlis penyampaian cenderamata kepada hakim musabaqah.

Turut hadir pada majlis tersebut ialah Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Pengiran Dato Seri Paduka Haji Bahrom bin Pengiran Haji Bahar dan Duta Besar Republik Indonesia ke Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Dr Sujatmiko.

Juga hadir ialah Setiausaha Tetap di KHEU, Dato Seri Setia Haji Abdul Aziz bin Orang Kaya Maharaja Lela Haji Yussof; Ra’es Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan, Dr Haji Adanan bin Haji Basar dan Timbalan Setiausaha Tetap (Dasar dan Keugamaan) di KHEU, Haji Mohd Serudin bin Haji Timbang.