BANDAR SERI BEGAWAN, 11 Julai – Empat produk ubat tradisional dan suplemen kesihatan telah didapati dicemari dengan bahan racun berjadual dan ubat-ubatan barat yang tidak diisytiharkan berikutan ujian makmal Perkhidmatan Makmal Farmasi, Perkhidmatan Makmal, Kementerian Kesihatan.
Produk berkenaan adalah X-Stive Men 400M 400mg Capsule (yang dikilangkan Stive Health Inc, U.S.A) yang dicemari dengan Sildenafil; AL-Barakah Ayam Selasih Pil (Kampung Gulau, Mukim Sok, Slk, Kedah) dicemari Dexamethasone; Pee Pa Wan Pill dicemari Chlorpheniramine; dan Slimming Booster Capsule 350mg yang dicemari dengan Sibutramine dan Phenolphthalein.
Kementerian Kesihatan dalam kenyataannya hari ini menekankan bahawa bahan-bahan pencemar dalam produk-produk berkenaan boleh mengakibatkan kesan-kesan mudarat yang membahayakan kesihatan.
Sildenafil adalah ubat yang digunakan untuk merawat mati pucuk yang memerlukan preskripsi doktor. Antara kesan-kesan sampingan apabila memakan ubat-ubat tersebut termasuk merasa mual, muntah-muntah, muka kemerahan dan pening.
Dalam kes-kes yang teruk, ia juga boleh menyebabkan peningkatan yang luar biasa dalam degupan jantung, kehilangan pendengaran secara tiba-tiba dan sawan.




Penggunaan kortikosteroid Dexamethasone secara berpanjangan tanpa pengawasan boleh menyebabkan peningkatan pada paras glukosa dalam darah yang mengakibatkan kencing manis, tekanan darah tinggi, katarak, penyakit otot dan tulang, serta meningkatkan risiko jangkitan yang teruk.
Penggunaan kortikosteroid dalam jangka panjang juga boleh mengakibatkan Cushing’s Syndrome yang dicirikan dengan muka bulat (moon face), serta kegemukkan pada bahagian badan dengan anggota kaki dan tangan yang kecil. Pengguna yang telah mengambil dos steroid yang tinggi dalam tempoh masa yang lama mungkin mengalami gejala termasuk keletihan, sakit otot dan sendi, demam, kadar gula dalam darah rendah, tekanan darah rendah dan dehidrasi.
Pening, tekanan darah menurun, denyutan jantung yang tidak menantu, kekeliruan, kemurungan dan sawan adalah antara kesan-kesan buruk yang boleh terhasil daripada penggunaan Chlorpheniramine tanpa pengawasan.
Sibutramine adalah agen pelangsing badan yang tidak lagi disarankan penggunaannya dalam rawatan obesiti kerana kesannya yang boleh memudaratkan jantung dan hati. Pengambilannya juga boleh menyebabkan kesan buruk yang serius seperti tekanan darah tinggi, denyutan jantung yang tidak menentu dan sukar untuk tidur; dan dalam kes-kes yang paling teruk, ianya boleh menyebabkan kerosakan pada buah pinggang dan hati.
Manakala itu, penggunaan berpanjangan dan berlebihan bahan Penolphthalein boleh menyebabkan cirit-birit dengan kehilangan air dan elektrolit yang berlebihan serta juga kemungkinan berlaku kegagalan atonik kolon, masalah pernafasan dan jantung, kerosakan renal serta kesan-kesan sensitiviti kuat yang dilaporkan dengan penggunaan bahan berkenaan.
Kementerian Kesihatan tidak pernah mengeluarkan kebenaran ke atas pengimportan bagi penjualan produk-produk tersebut. Berikutan dapatan ini, produk-produk berkenaan adalah dilarang untuk diimport dan dijual di Negara Brunei Darussalam.
Orang ramai yang telah membeli atau memakan produk-produk tersebut dinasihatkan untuk memberhentikan pengambilannya dengan serta merta. Jika mengalami kesan buruk dan merasa tidak sihat selepas memakan produk-produk berkenaan, hendaklah berjumpa doktor dengan segera.
Orang ramai yang terlibat dalam penjualan produk-produk tersebut (termasuk penjualan secara online seperti melalui Facebook dan sebagainya) adalah diingatkan bahawa ianya adalah menjadi satu kesalahan di bawah Akta Racun 1956 untuk menjual mana-mana produk yang mengandungi bahan yang dikawal di bawah akta berkenaan dan boleh dikenakan denda sebanyak $8,000 atau penjara enam bulan, jika didapati bersalah. Tambahan pula, jika seseorang melakukan sesuatu di atas kecuaiannya sendiri yang membahayakan atau mungkin membahayakan nyawa manusia, jika didapati bersalah, akan didenda sebanyak $16,000 dan 12 bulan penjara.
Kementerian Kesihatan juga ingin memohon kerjasama orang ramai untuk melaporkan kepada Perkhidmatan Peraturan-peraturan Kesihatan jika mendapati produk-produk berkenaan masih dipasarkan di negara ini.
Untuk maklumat lanjut dan perhubungan lanjut, orang ramai boleh menghubungi Perkhidmatan Peraturan-peraturan Kesihatan melalui talian telefon 2384182, menghantar e-mel kepada health.regulations@moh.gov.bn atau berjumpa terus pegawai penguatkuasaan di Perkhidmatan Peraturan-peraturan Kesihatan, Tingkat 1, Kementerian Kesihatan, Jalan Menteri Besar.