Oleh Syahmi Hassan
BANDAR SERI BEGAWAN, 15 FEB – Bergerak ke Fasa Endemik, Kementerian Kesihatan telah memperkenalkan empat protokol kesihatan baharu bagi pengesanan COVID-19 seperti mana yang diterangkan oleh Konsultan (Kesihatan Awam) di Kementerian Kesihatan, Dr Justin Wong dalam sesi temu bual yang diadakan di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan, hari ini.
Dr Justin Wong menjelaskan bagi protokol 1, orang ramai tidak akan lagi dikehendaki untuk menjalani ujian PCR kecuali atas arahan doktor sekiranya berlaku konflik dalam ujian swab ART mereka.
Bagi mereka yang menerima arahan doktor untuk menjalankan ujian swab PCR perlulah mengasingkan diri mereka segera daripada ahli serumah dan orang lain sementara menantikan keputusan ujian.
Jika keputusan didapati positif atau kod BruHealth bertukar ke warna ungu, tunggu SMS dari Kementerian Kesihatan dan panggilan dari Talian Darussalam (TD) 123 bagi urusan selanjutnya.
Protokol 2, katanya, mereka yang mengalami simptom serupa flu perlu melakukan ujian ART dan jika hasil keputusan positif, ulangi ujian ART kedua.
Jika keputusan ujian ART kedua positif, ini bermakna awda disahkan positif COVID-19. Tetapi jika negatif, awda perlu ke pusat swab terdekat (dalam tempoh 24 jam) untuk ujian PCR, kemudian asingkan diri di rumah.
Awda akan menerima notifikasi melalui SMS jika negatif. Pastikan nombor awda dikemas kini dalam akaun Bru-HIMS.
Semasa panggilan dari TD 123, awda akan ditetapkan kategori jangkitan sama ada Kategori 1 dan Kategori 2A iaitu untuk terus mengasingkan diri di rumah dan akan dihubungi oleh TD 123 sepanjang tempoh pengasingan sehingga discaj; atau Kategori 2B hingga Kategori 5 di mana awda akan menerima panggilan dari TD 123 untuk dipindahkan ke Pusat Pengasingan COVID-19.
Protokol 3 adalah bagi mereka yang tiada simptom tetapi diuji positif melalui ujian ART. Jika keputusan positif, ulangi ujian ART kedua dan jika positif lagi, ini bermakna awda positif COVID-19.
Jika keputusan ujian ART kedua negatif, awda perlu ke pusat swab terdekat (dalam tempoh 24 jam) untuk ujian PCR, jika keputusan ujian PCR negatif, awda akan menerima notifikasi melalui SMS.
Manakala Protokol 4 adalah bagi mereka yang dikenal pasti sebagai kontak terdekat kepada kes positif. Awda akan menerima panggilan dari TD 123, dan sejurus menerima panggilan tersebut, asingkan diri dan lakukan ujian ART pada hari pertama dengan menggunakan ART atau menghubungi TD 123 jika tidak memiliki kit ART.
Jika keputusan positif, ini bermakna awda disahkan positif COVID-19 dan laporkan segera. Jika keputusan negatif dan tidak mempunyai sebarang simptom, teruskan pengasingan diri selama lima hari.
Lakukan ujian ART pada hari kelima dan muat naik keputusan ujian hari pertama dan hari kelima di www.moh.gov.bn/ARTReport. Jika keputusan negatif tetapi awda menghidap simptom flu semasa tempoh pengasingan lima hari itu, lakukan ujian ART dengan segera.
Jika keputusan positif, ini bermakna awda disahkan positif COVID-19.
Bagi keempat-empat protokol terbabit, laporkan ujian ART yang positif melalui www.moh.gov.bn/ARTReport atau hubungi TD 123 dan nantikan SMS dari Kementerian Kesihatan dan panggilan dari TD 123 bagi urusan selanjutnya.
Menurut Dr Justin Wong lagi, ujian saringan ART kini menjadi tetapan utama (default) menggantikan ujian swab PCR yang mana ujian PCR hanya akan diarahkan oleh doktor ke atas individu yang berkenaan sahaja.
“Ini kerana ujian saringan ART mudah digunakan dan menunjukkan hasil yang lebih pantas agar kita boleh mengambil tindakan segera untuk melindungi orang lain,” katanya.
Berdasarkan bukti dari kajian antarabangsa menunjukkan ketepatan ujian ART semasa tempoh penyebaran komuniti adalah lebih 90 peratus.
Dr Justin Wong juga menjelaskan tempoh mereka yang dijangkiti virus COVID-19 dapat menjangkiti orang lain iaitu hingga hari pertama hingga ke hari kelima. Setelah hari ketujuh dan seterusnya, virus tersebut tidak begitu menjangkiti dan pada hari ke-10 ianya tidak lagi menjangkiti.
Pada sesi temu bual tersebut, beliau menjelaskan, individu yang menjalani pemulihan di rumah akan diberikan pakej penjagaan yang mengandungi kit ujian ART.
“Awda harus memantau dan melaporkan simptom awda setiap hari mengenai penggunaan kit ART apabila diarahkan berbuat demikian oleh pasukan panggilan daripada TD123. Jika simptom bertambah teruk semasa pemulihan awda, awda harus menghubungi TD123 atau hubungi 991 (untuk simptom yang teruk),” jelas Dr Justin Wong.
“Kebenaran keluar dari pemulihan di rumah akan bergantung pada keputusan ART. Jika keputusan ujian awda negatif pada hari kelima, awda akan diminta untuk mengulangi ujian pada hari keenam dan boleh keluar apabila negatif,” tambahnya.
Menurutnya lagi, jika kekal positif pada hari kelima, individu berkenaan perlu mengulangi ujian pada hari ketujuh. Jika kekal positif, mereka perlu melengkapkan pengasingan selama 10 hari dan menjalankan Test-To-Discharge di bawah bimbingan TD123.
Sementara itu, Timbalan Setiausaha Tetap (Profesional) di Kementerian Kesihatan, Dr Ang Swee Hui, turut menekankan beberapa perkara daripada apa yang disampaikan oleh Dr Justin, iaitu yang pertama adalah untuk melaporkan diri. Sekiranya seseorang itu positif COVID-19, terdapat tanggungjawab sosial untuk mereka melaporkan dan mengasingkan diri di rumah agar tidak menjangkiti orang lain.
Dr Ang Swee Hui menyatakan mereka yang dimasukkan ke dalam pengasingan diri di rumah akan menerima panggilan secara berkala untuk mengetahui keadaan mereka.
Manakala Konsultan (Penyakit Berjangkit) di Kementerian Kesihatan, Dr Hajah Riamiza Natalie binti Haji Momin semasa temu bual itu juga turut mengongsikan dua perkara, salah satunya adalah ujian swab dan normal baharu.
“Orang ramai mungkin masih tidak yakin dengan ART untuk mengesan COVID-19, tetapi apa yang kita tahu kementerian tidak akan mengesyorkan ART sebagai cara untuk mendiagnosis COVID-19 jika kami sendiri tidak yakin dengannya,” tegasnya.
Menurut Dr Hajah Riamiza Natalie, ujian ART boleh mengesan dan boleh mengesahkan COVID-19 seperti yang digunapakai di negara-negara lain.
“Ini bukan berdasarkan sangkaan, tetapi berdasarkan pengalaman dari negara lain. Alhamdulillah, majoriti kes yang kami lihat adalah sangat ringan atau asimptomatik dalam kategori 1 dan kategori 2, dan oleh kerana ini, kami yakin untuk meneruskan pengasingan rumah sebagai default untuk kes-kes ini,” jelas beliau lagi.
Selain itu, perkara lain yang Dr Hajah Riamiza Natalie tekankan ialah menuju normal baharu di mana COVID-19 dianggap sama seperti selesema biasa.
“Itulah hala yang kita tuju, tetapi kita juga tidak boleh lupa untuk menyasarkan mereka yang lebih cenderung untuk menjadi tidak sihat. Mereka inilah yang memerlukan perhatian kami.
“Tetapi perlu diingat bahawa jika awda menjalani pengasingan di rumah, awda tidak dilupakan dan adalah penting untuk melaporkan dan menda-patkan pakej penjagaan di rumah yang dihantar kepada awda. Pada masa yang sama, kami juga perlu menumpukan sebahagian daripada usaha kami kepada mereka yang sakit,” tambahnya.
Di hujung penjelasannya, Dr Hajah Riamiza Natalie menyarankan untuk bersabar kerana mereka melakukan yang terbaik yang mereka mampu dari segi menumpukan usaha mereka kepada yang benar-benar sakit, tetapi mereka juga tidak akan melupakan pesakit yang menjalani pemulihan di rumah.
Dalam sesi soal jawab bersama media tempatan ada dipersoalkan mengenai kod merah dalam aplikasi BruHealth bagi kontak-kontak terdekat.
Dr Justin Wong dalam menjawab persoalan tersebut menjelaskan bahawa buat masa ini jika awda merupakan kontak terdekat, apa yang awda akan lihat dalam aplikasi BruHealth adalah kuarantin selama 14 hari.
“Jika awda melaporkan keputusan negatif di portal laporan, kami akan kemudiannya mengesahkannya, maka keesokan harinya awda akan menerima kod hijau dan boleh keluar dari kuarantin.
“Tetapi jika, atas sebab apa pun, awda memilih untuk tidak melaporkan keputusan awda, dalam situasi itu, kami akan mengasingkan awda selama 14 hari dan kod merah awda hanya akan berubah kembali selepas hari ke-14,” jelasnya lagi.