4 rakan kayuh basikal jejak wira negara

BALING, 8 Jan – Bergelar warga emas bukan penghalang kepada empat sahabat yang memulakan misi kayuhan #jejakwira2017 untuk menjejaki wira-wira negara di seluruh Semenanjung, hari ini.

Misi selama 40 hari yang merangkumi jarak lebih 2,000 kilometer itu disertai wartawan sambilan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) bagi daerah ini Che Saad Noordin, 66; Sulaiman Baharum, 51 (pesara tentera); Said Saad, 61 (bekas komando VAT 69) dan Zakinoor Musa, 45 (bekerja sendiri). Mereka akan berkayuh dan mengunjungi bekas-bekas pejuang zaman darurat, anggota VAT 69, tentera dan polis di seluruh Semenanjung sebelum mengakhiri misi di Langkawi.

“Ini adalah satu cara untuk kami menghargai wira-wira tidak didendang ini yang ada antaranya sudah berusia lebih 100 tahun dan ada juga yang terlantar,” kata Che Saad yang ditemui selepas pelancaran misi, di sini.

Katanya mereka juga merancang untuk membantu mangsa banjir di Pantai Timur.

“Kami tiada aktiviti khusus kerana semuanya bergantung kepada keadaan dan juga pemimpin setempat,” katanya.

Datuk Seri Abdul Azeez Abd Rahim (dua, kanan) memberi kata-kata semangat kepada peserta kayuhan jelajah seluruh semenanjung #jejakwira 2017 di Baling. – Bernama
Datuk Seri Abdul Azeez Abd Rahim (dua, kanan) memberi kata-kata semangat kepada peserta kayuhan jelajah seluruh semenanjung #jejakwira 2017 di Baling. – Bernama

Menyasarkan kayuhan sejauh 90 km sehari, Che Saad berkata antara cabaran getir yang bakal dihadapi ialah laluan di Endau-Rompin dan banjaran Titiwangsa.

Bagaimanapun beliau yakin dengan persediaan dan latihan yang dilakukan sejak tiga bulan lalu, anggota misi dapat merealisasikan kayuhan tersebut. Sementara itu Anggota Parlimen Baling Datuk Seri Abdul Azeez Abd Rahim berkata misi yang dilakukan empat sahabat itu seharusnya dijadikan contoh oleh penduduk Baling.

“Sekali lagi sejarah dicipta di Baling dan semangat yang dipamerkan mereka perlu dicontohi terutama golongan muda.

“Mengambil kira faktor umur, usaha mereka menjejaki semula wira negara dan membuat dokumentari mengenai perjalanan mereka adalah sesuatu mengagumkan,” katanya. – Bernama