Wednesday, March 19, 2025
24.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    4 rumah, 3 kenderaan musnah

    KOTA KINABALU, 13 Jan – Empat buah rumah musnah manakala sebahagian struktur sebuah rumah Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) rosak dalam kebakaran di Kampung Muhibbah Lama, Petagas dekat sini petang tadi.

    Turut musnah dalam kebakaran kira-kira 2:25 petang itu ialah tiga buah kenderaan.

    Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Penampang, Mohammad Akramin Sakirun berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 2:31 petang dan empat jentera bersama 33 anggota tiba di lokasi kejadian sembilan minit kemudian.

    “Ketika kami sampai api sedang marak dan kebakaran ini dapat dikawal pada pukul 2:55 petang,” katanya kepada pemberita di lokasi kejadian.

    Mohammad Akramin berkata tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan punca kebakaran serta anggaran jumlah kerugian masih dalam siasatan.

    Penduduk kampung Muhibbah Lama, Petagas memadam api dengan menggunakan air sungai Petagas sementara menunggu anggota bomba dan penyelamat sampai dalam satu kebakaran melibatkan empat rumah. – Bernama
    Penduduk kampung Muhibbah Lama, Petagas memadam api dengan menggunakan air sungai Petagas sementara menunggu anggota bomba dan penyelamat sampai dalam satu kebakaran melibatkan empat rumah. – Bernama

    Sementara itu, seorang mangsa Jhon Jhon Antito, 36, berkata semasa kejadian beliau berada di luar dan hanya mengetahui kebakaran itu apabila dihubungi rakannya.

    “Saya terus balik ke rumah dengan segera kerana memikirkan ibu saya seorang diri di rumah. Apabila sampai saya lihat rumah sedang terbakar. Walaupun sedih kerana semua barangan musnah terbakar, namun saya sangat bersyukur kerana ibu sempat menyelamatkan diri,” katanya.

    Seorang penduduk di kampung itu, Mohd Ruzaini Zulkepli berkata ketika kejadian beliau sedang berehat di rumahnya yang terletak bersebelahan dengan kawasan kebakaran.

    “Ketika itu saya mendengar orang menjerit mengatakan ada kebakaran. Saya kemudiannya keluar dan terus menghubungi bomba. Saya bersyukur kerana dengan kepantasan pihak bomba, api dapat dikawal daripada merebak ke rumah lain,” katanya. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda