4 sekeluarga lafaz Dua Kalimah Syahadah

Oleh Daniel Lim

BELAIT, 26 NOV – Empat sekeluarga berbangsa Iban telah memilih agama Islam sebagai pegangan hidup mereka setelah melafazkan Dua Kalimah Syahadah pada majlis pengislaman yang berlangsung di Dewan Serbaguna Pejabat Unit Dakwah Daerah Belait, hari ini.

Hadir menyaksikan majlis penuh keberkatan itu ialah Pemangku Ketua Pegawai Ugama, Daerah Belait, Awang Mohammad Noorsuffian bin Haji Yahya.

Saudara-saudara baharu berkenaan terdiri daripada Dia anak Balai, 48, tahun yang telah memilih nama Islamnya sebagai Nur Baqiyah binti Muhammad Qarar; Roseliana anak Lakun, 25, yang kini dikenali dengan nama Islamnya sebagai Nur Athirah binti Abdullah Lakun; Rosemalda anak Lakun, 19, kini dikenali sebagai Nur Afifah binti Abdullah Lakun dan Sangan anak Klambu, 72, kini dikenali sebagai Nur Maya Hajidah binti Abdul Azim Klambu.

Majlis telah dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah sebelum majlis pengislaman disempurnakan oleh Penolong Ketua Unit Dakwah Daerah Belait, Hajah Salimah binti Haji Hassan.

Pada majlis itu, Awang Mohammad Noorsuffian turut menyampaikan cenderahati dan senaskah Mushaf Brunei Darussalam daripada Pusat Dakwah Islamiah (PDI) kepada saudara-saudara baharu yang diraikan.

Kemudian majlis diserikan dengan laungan Dikir Marhaban oleh Persatuan Sinar Islam, Daerah Belait sebelum diakhiri dengan bacaan Doa Selamat.

Menurut statistik daripada PDI, seramai 69 orang telah memeluk agama Islam di Daerah Belait setakat ini bagi tahun ini, meningkat berbanding tahun lalu yang mencatatkan sebanyak 64 pengislaman.

Saudara-saudara baharu ketika melafazkan Dua Kalimah Syahadah pada majlis pengislaman berkenaan.