4 sekeluarga maut: Nota panggilan tidak tepat punca kelewatan bomba

KOTA KINABALU, 10 SEPT – Nota panggilan atau ‘call sheet’ dicetak tertera alamat tidak tepat yang diberikan pemanggil menyebabkan kelewatan pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Sabah tiba di rumah kejadian kebakaran di Taman Hungab, Penampang yang mengorbankan empat sekeluarga pada Selasa.

Pengarah JBPM Sabah Md Ali Ismail berkata berdasarkan rekod pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Penampang tiba pada 3:04 pagi, setelah mendapat maklumat pada 2:52 yang mana maklumat tidak tepat itu menyebabkan pasukan itu tersasar, dan terpaksa mendapatkan maklumat sebenar untuk ke lokasi kebakaran sebenar.

“Semasa ketibaan, pasukan bomba mendapati bahawa api telah merebak di aras bawah dan atas rumah. 

“Hasil siasatan menjurus kepada punca bebanan elektrik di tingkat bawah rumah dan bebanan api yang berlebihan menyebabkan api merebak dengan lebih cepat, dan jangkaan api bermula adalah pada jam 2.32 pagi,” katanya menerusi kenyataan malam ini. – Bernama