Wednesday, February 19, 2025
25.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    4 sertai bengkel di Korea Selatan

    Oleh Sim Y. H.

     

    BANDAR SERI BEGAWAN, 14 Julai – Pergerakan sesebuah pertubuhan organisasi sangat bergantung kepada perkembangan keahliannya di mana dengan struktur pengurusan pentadbiran yang stabil serta kepelbagaian kegiatan yang terancang dan bersistematik boleh menarik penyertaan lebih ramai anak-anak muda untuk menyertainya.

    Sehubungan itu, Persekutuan Pengakap Negara Brunei Darussalam (PPNBD) menghantar empat orang pesuruhjaya pengakap iaitu Pesuruhjaya Pengakap Daerah Brunei dan Muara, Awang Mohammad Arif bin Abdul Hadi; Pemangku Penolong Pesuruhjaya Pengakap Daerah Tutong, Awang Mosli bin Haji Abdul Hadis; Pesuruhjaya Pengakap Daerah Belait Awang Mohamad Hatta bin Haji Suhaili; dan Pesuruhjaya Pengakap Daerah Temburong, Awang Jurkarnain bin Husin untuk menyertai Bengkel Perkembangan Keahlian Pengakap Peringkat Rantau Asia Pasifik.

    Bengkel yang dianjurkan oleh Pergerakan Pengakap Rantau Asia Pasifik dengan kerjasama Persekutuan Pengakap Korea Selatan itu berlangsung di Pusat Pengakap Asia Pasifik Suncheon, Suncheon, JeollaNamdo, Republik Korea Selatan, selama lima hari bermula esok hingga 19 Julai.

    Bengkel itu dijangka dihadiri oleh lebih 25 orang pemimpin pengakap dari 17 buah negara di rantau Asia Pasifik di mana ia bertujuan untuk memastikan strategi yang berbeza dan prosedur yang dikemas kini serta diterima pakai dalam menguruskan perkembangan keahlian pengakap dalam pergerakan pengakap di setiap negara.

    Di samping itu, para peserta juga akan berkongsi pengalaman yang berkesan dengan sistem yang ditubuhkan untuk memantau keberkesanan pelaksanaannya serta cabaran.

    Empat pesuruhjaya pengakap yang menyertai bengkel tersebut bergambar ramai sebelum berlepas ke Korea Selatan.
    Empat pesuruhjaya pengakap yang menyertai bengkel tersebut bergambar ramai sebelum berlepas ke Korea Selatan.

    Hadir di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei, hari ini, untuk mengucapkan selamat belayar kepada peserta bengkel ialah Timbalan Ketua Pesuruhjaya Pengakap, Haji Ismail bin Pehin Orang Kaya Ratna Setia Dato Setia Haji Awang Abdul Hapidz; Pesuruhjaya Antarabangsa, Awang Abdul Manan bin Haji Abdul Latip; Pegawai Eksekutif PPNBD, Awang Zainudin bin Haji Ishak serta keluarga para peserta bengkel itu.

    Bengkel itu bermatlamat untuk membina kapasiti dalaman di dalam organisasi persekutuan pengakap kebangsaan untuk menarik lebih ramai anak-anak muda menyertai pengakap ke arah mencapai Visi Pertubuhan Pergerakan Pengakap Sedunia 2023 dan misi pergerakan pengakap.

    Para peserta di akhir penyertaan mereka dalam bengkel itu nanti diharap akan membangunkan kecekapan membuat analisis, menerangkan faktor-faktor penting bagi perkembangan kuantitatif di dalam pengakap, mengenal pasti skop pertumbuhan perkembangan keahlian pengakap, merangka strategi perkembangan keahlian pengakap di peringkat kebangsaan dan tempatan serta membangunkan pelan tindakan untuk tahun 2017 – 2018, mengenai strategi perkembangan keahlian pengakap.

    Semasa bengkel itu nanti, beberapa persekutuan pengakap kebangsaan juga akan berkongsi kisah mereka yang akan meningkatkan pemahaman perkemba-ngan keahlian pengakap tentang faktor kejayaan serta cabaran yang dihadapi oleh persekutuan pengakap kebangsaan dalam menarik dan mengekalkan orang muda dalam pengakap.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda