Friday, April 19, 2024
24 C
Brunei

    -

    4 syarikat tempatan meterai LPA bersama Brunei LNG

    Oleh Ak Zaki Kasharan

    BELAIT, 2 FEB – Brunei LNG hari ini telah mengadakan majlis penandatanganan bagi tambahan kepada Program Perantisan Perintis Brunei LNG menerusi perjanjian kakitangan tempatan (LPA) bersama empat syarikat tempatan, Adinin Works and Engineering Sdn Bhd, Tendrill International Sdn Bhd, Zainal Daud Sdn Bhd dan Exceltech Solutions Sdn Bhd.

    Hadir menyaksikan majlis yang berlangsung di Dewan Kelab Rekreasi Liang Lumut tersebut ialah Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Brunei LNG, Hajah Farida binti Dato Seri Paduka Haji Talib yang turut menandatangani perjanjian bagi pihak Brunei LNG.

    Dalam ucapannya, Hajah Farida menjelaskan bahawa Program Perantisan Perintis Brunei LNG akan dilancarkan pada 5 Februari ini di bawah Social Investment Flagship – Employability.

    “Di bawah program perintis ini, kakitangan yang berkelayakan daripada empat rakan perniagaan utama berkenaan akan menjalani latihan di Institut Pendidikan Teknikal Brunei (IBTE) dan organisasi latihan berdaftar (RTO), ditaja sepenuhnya oleh Brunei LNG di bawah program pelaburan sosialnya,” ujarnya.

    Beliau turut menekankan, tahun lalu, semasa gelombang pertama COVID-19, penutupan sempadan memberi kesan kepada keupayaan untuk membawa masuk bilangan pekerja mahir asing yang diperlukan untuk melaksanakan aktiviti yang dirancang.

    Kekangan itu seterusnya membawa kepada pengurangan dan penangguhan aktiviti sehingga memasuki tahun ini dan seterusnya, jelas menyerlahkan kebergantungan perniagaan dan industri kepada keupayaan untuk mendapatkan pekerja asing mahir bagi menambah keupayaan tempatan, dalam melaksanakan aktiviti yang telah dirancang.

    Oleh itu, dengan adanya program berkenaan, tambah beliau, ia akan memberi peluang kepada Brunei LNG, rakan kongsi perniagaan, dan negara untuk mengurangkan pengangguran dan mencipta kemajuan besar dalam tenaga kerja tempatan mahir yang mampan.

    Pada majlis itu, menandatangani bagi pihak Adinin Works and Engineering ialah Pengarah Urusannya, Haji Musa bin Haji Adinin, manakala itu, Tendrill International diwakili Pengarah Urusannya, Dayang Haryati binti Haji Ramlee, Zainal Daud diwakili oleh Haji Zainal Abidin bin Haji Mohd Daud selaku pengarah urusan dan Exceltech Solutions pula diwakili oleh Pengarah Urusannya, Awang Hafriz Fayadh bin Haji Musa.

    Majlis penandatanganan berkenaan menandakan satu lagi kejayaan dalam usaha bersama untuk mengukuhkan pekerjaan dan keupayaan penduduk tempatan.

    Dalam usaha memantapkan keupayaan tenaga kerja anak tempatan, Brunei LNG bersama empat buah syarikat telah menandatangani Program Perantisan Perintis Brunei LNG melalui Perjanjian Kakitangan Tempatan di Dewan Kelab Rekreasi Liang Lumut. Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Brunei LNG, Hajah Farida binti Dato Seri Paduka Haji Talib (kanan) dan Pengarah Urusan Tendrill International, Dayang Haryati binti Haji Ramlee menandatangani salah satu perjanjian perantisan tersebut, kelmarin. – Gambar oleh Ak Zaki Kasharan.
    Hajah Faridah menandatangani perjanjian bersama Zainal Daud Sdn Bhd yang diwakili Haji Zainal Abidin.
    Penandatanganan perjanjian bersama Adinin Works and Engineering yang diwakli oleh Haji Musa.
    Penandatanganan perjanjian bersama Exceltech Solutions yang diwakili oleh Awang Hafriz Fayadh.
    Hajah Faridah bergambar ramai bersama wakil dari empat buah syarikat yang menandatangani LPA bersama Brunei LNG.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Polis Australia selesaikan misteri kokain hanyut

    SYDNEY, 18 APRIL - Polis Australia telah menahan seorang lelaki didakwa menjadi dalang di sebalik komplot penyeludupan dadah yang gagal, mengakibatkan batu-bata kokain misteri...