4 terbunuh pertempuran di Kashmir

SRINAGAR, INDIA, 17 SEPT – Ratusan penduduk yang berang bertempur dengan pasukan keselamatan kerajaan di bandar Kashmir yang ditadbir India hari ini, selepas insiden berbalas tembakan menyebabkan tiga individu disyaki pemberontak dan seorang wanita maut, kata polis dan saksi kejadian.

Polis antirusuhan dan pasukan separa tentera persekutuan mengepung kejiranan Batamaloo di Srinagar tengah malam tadi, selepas menerima maklumat militan bersenjata bersembunyi di dalam sebuah kediaman di situ, menyebabkan tembak-menembak berlaku.

Tiga individu disyaki pemberontak dipercayai penduduk tempatan, terbunuh dalam insiden berbalas tembakan itu yang berlarutan selama beberapa jam, kata polis menerusi Twitter.

“Seorang wanita muda turut terbunuh dalam kejadian itu,” kata seorang pegawai polis kepada AFP.

“Wanita itu terperangkap dalam tembak-menembak berkenaan. Kematiannya adalah dikesali,” kata ketua pengarah polis, Dilbagh Singh kepada wartawan, selain memaklumkan seorang anggota pasukan separa tentera turut tercedera dalam insiden berkenaan.

Berita kematian menyebabkan ratusan penduduk turun ke jalan raya dan melontar batu ke arah pasukan keselamatan kerajaan yang membalas dengan tembakan gas pemedih mata dan peluru besi.

Penunjuk perasaan turut melaungkan beberapa slogan, antaranya ‘Hidup Pakistan’ dan ‘Kami mahukan kebebasan’, kata seorang jurugambar AFP yang berada di lokasi. Tiada kecederaan dilaporkan daripada insiden susulan itu buat masa ini.

Pertempuran bersenjata antara pemberontak dan pasukan keselamatan kerajaan kerap berlaku di wilayah itu, namun agak jarang di pusat bandar berkenaan. – AFP

Para pembantah melontar batu semasa bertempur dengan pasukan kerajaan di kawasan Batamaloo di Srinagar pada 17 September. – AFP