Oleh Sim Y. H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 17 SEPT – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam kelmarin berkenan berangkat menyempurnakan penganugerahan anugerah biasiswa Sultan’s Scholar Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (Yayasan) Sesi Pengajian 2023/2024 pada majlis yang berlangsung di Istana Nurul Iman.
Berangkat sama, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik, Pengerusi Jemaah Tadbir Yayasan.
Pada tahun ini, empat orang penuntut telah berjaya menerima anugerah biasiswa berprestij berkenaan iaitu Dayang Alya’ Nuha binti Haji Hayattuddin, Awang Ahmad Syahmi bin Haji Mohamad Rozaini, Chloe Cheok Lu Yi dan Dayang Siti Ain Nursyuhaidah binti Mohammad Sahirin.
Doa Selamat dibacakan oleh Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned.
Selepas berkenan mengurniakan anugerah-anugerah biasiswa, Baginda Sultan berserta kerabat diraja juga berkenan beramah-mesra dengan para penerima. Sebelum berangkat meninggalkan majlis, Baginda berkenan bergambar ramai bersama penerima-penerima anugerah biasiswa.
Turut hadir pada majlis berkenaan ialah ahli-ahli Jemaah Tadbir Yayasan, Lembaga Pengarah Yayasan, Jawatankuasa Pandu Skim Biasiswa Sultan’s Scholar Yayasan, setiausaha-setiausaha tetap dan timbalan-timbalan setiausaha tetap di Kementerian Pendidikan dan Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), pegawai-pegawai kanan jabatan kerajaan yang berkenaan dan pegawai-pegawai Yayasan serta sebahagian pengetua dari institusi-institusi tingkatan enam di seluruh negara.
Sementara itu, sebagai kesinambungan daripada majlis penganugerahan berkenaan, Majlis Penandatanganan Perjanjian Penganugerahan Biasiswa Sultan’s Scholar Yayasan bagi sesi pengajian tahun 2023/2024 telah diadakan di Dewan An-Naura, Kompleks Yayasan, kelmarin.
Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Menteri di JPM dan Menteri Pertahanan Kedua selaku Pengerusi Lembaga Pengarah Yayasan, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof.
Dayang Alya’ Nuha merupakan lepasan penuntut Sekolah Menengah Arab Laki-Laki Hassanal Bolkiah (SMALHB) dan melalui biasiswa Sultan’s Scholar, beliau akan meneruskan pengajian dalam jurusan Lughah Arabiyyah di Universiti Al-Azhar, Republik Arab Mesir.
Awang Ahmad Syahmi juga merupakan lepasan SMALHB dan akan meneruskan pengajian dalam jurusan Syariah Islamiyyah di Universiti Al-Azhar, Republik Arab Mesir.
Chloe Cheok Lu Yi pula merupakan lepasan penuntut Maktab Sains Paduka Seri Begawan Sultan (Maktab Sains) dan beliau akan meneruskan pengajian dalam jurusan Mikrobiologi di Imperial College London, United Kindgom.
Sementara itu, Dayang Siti Ain Nursyuhaidah merupakan lepasan penuntut Pusat Tingkatan Enam Sengkurong dan beliau akan meneruskan pengajian dalam jurusan Sains Data di University of Melbourne, Australia.
Pada majlis itu, para penerima biasiswa menandatangani perjanjian dengan ditemani dua orang penjamin terdiri daripada ibu bapa mereka atau ahli keluarga terdekat.
Bagi pihak Yayasan, penandatanganan dilakukan oleh Setiausaha Tetap (Perancangan, Guna Tanah dan Alam Sekitar) di Kementerian Pem-bangunan, Dr Nor Imtihan binti Haji Abdul Razak selaku Pemangku Pengarah Urusan Yayasan bersama Penolong Pengarah Urusan Yayasan, Awang Abdullah @ Dollah bin Haji Ahad dengan disaksikan oleh Yang Berhormat Pehin Dato Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi.
Majlis kemudian diteruskan dengan bacaan Doa Selamat bagi memohon keberkatan khusus bagi para penerima biasiswa yang akan bertolak dari Negara Brunei Darussalam
bagi meneruskan pengajian masing-masing.