4 termasuk wanita China dipercayai edar dadah diberkas

SIBU, 14 JULAI – Empat individu termasuk seorang wanita tempatan dan seorang wanita warga China yang dipercayai terlibat dalam aktiviti pengedaran dadah diberkas dalam satu serbuan di sebuah rumah di Jalan Lorong Wong King Huo, Jumaat lepas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Narkotik Sarawak, Supt Sahar Abd. Latif berkata mereka yang diberkas dalam serbuan JSJ Nakortik dari IPK Sarawak pada kira-kira pukul 11:45 pagi itu terdiri daripada dua lelaki tempatan berusia 25 tahun, wanita tempatan berusia 26 tahun dan wanita warganegara China, 25 tahun.

Beliau berkata semasa serbuan hasil maklumat dan hasil risikan itu, seorang lelaki cuba melarikan diri dengan terjun dari beranda tingkat atas rumah itu namun berjaya ditahan, manakala tiga lagi suspek diberkas di ruang makan rumah tersebut.

Menurutnya yang dirampas dalam serbuan itu terdiri daripada dadah disyaki syabu seberat 547 gram dianggar bernilai RM98,460, Erimin 5 (899 gram/300 papan) bernilai RM45,000; ketamin (543 gram) bernilai RM81,450 dan Ekstasi (75 biji – 22 gram) bernilai RM4,500.

“Kesemua dadah yang dijumpai telah dirampas dan suspek ditahan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati jika sabit kesalahan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini. – Bernama