4 terpilih sertai Program Juruterbang Kadet

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 6 MAC – Syarikat Penerbangan Diraja Brunei (RB) mencatatkan satu lagi mercu tanda yang signifikan dalam Program Juruterbang Kadet apabila empat juruterbang kadet termasuk seorang juruterbang kadet perempuan telah dipilih daripada seramai 48 orang pemohon yang disenaraipendekkan untuk menyertai program latihan mencabar berkenaan.

Sehubungan dengan itu, Majlis Penandatangan Perjanjian Pengambilan Juruter-bang Kadet ke-53 bagi empat kadet yang bertuah iaitu Awang Hairul Azhiim bin Awang Abidin, Dayang Siti Nursufizah binti Mohammad Suffian, Awangku Muhd Munir Nabil Hazim bin Pengiran Haji Momin dan Yong Chingyi telah diadakan di Collaboration Hub, RB Campus, hari ini.

Menandatangani bagi pihak RB ialah Ketua Pegawai Eksekutif RB, Karam Chand; Ketua Pegawai Operasi, Kapten Saiful Bahrin bin Awang Bahar; dan Ketua Pegawai Kakitangan dan Prestasi, Richard Rendell.

Karam Chand ketika berucap di majlis itu menjelaskan Skim Juruterbang Kadet RB telah dijalankan sejak 1975 di mana ia membolehkan RB untuk membangunkan juruterbang tempatannya serta memenuhi tiga perempat daripada keperluannya untuk membuat penerbangan ke destinasi-destinasi RB.

Beliau berkata para kadet yang dipilih berdasarkan pencapaian dan potensi tinggi semasa tempoh penilaian di mana pihak RB meletakkan standard yang amat tinggi kerana sebagai juruterbang RB, keselamatan dan sekuriti para penumpang dan penerbangan berkenaan diberikan keutamaan.

Jelasnya lagi, sepanjang latihan itu, pasukan latihan dan pembangunan akan membimbing dan memberikan sokongan untuk mengatasi sebarang cabaran yang mungkin dihadapi atau bantuan yang diperlukan bagi memastikan mereka berjaya menamatkan latihan.

Para juruterbang kadet berkenaan akan memulakan latihan mereka pada 16 Mac dengan rakan latihan RB L3 Harris Commercial Aviation di New Zealand selama 14 bulan serta tiga bulan di United Kingdom dan dijangka menamatkan latihan mereka pada September 2021.

RB pada masa ini mempunyai tenaga kerja seramai 105 orang juruterbang merangkumi 73 peratus juruterbang tempatan yang mengemudi kapal-kapal terbang berteknologi baharu iaitu 39 kapten tempatan, 53 pegawai pertama kanan tempatan dan 12 pegawai pertama tempatan serta lapan kadet yang sedang dalam latihan.

Karam Chand, Kapten Saiful Bahrin dan Richard Rendell bergambar ramai bersama juruterbang kadet yang dipilih bagi pengambilan ke-53.
Yong Chingyi menandatangani perjanjian di hadapan Karam Chand (tengah), Kapten Saiful Bahrin (kiri) dan Richard Rendell.