4 warga Malaysia dipenjara, sebat

Oleh Ak Zaki Kasharan

BANDAR SERI BEGAWAN, 3 SEPT – Empat orang warganegara Malaysia telah dijatuhi hukuman penjara, sebat dan turut diperintahkan untuk membayar denda oleh Mahkamah Majistret hari ini selepas mereka mengaku bersalah atas pertuduhan memasuki negara ini secara haram dan bertindak untuk melarikan diri daripada menjalankan perintah pengasingan diri.

Bagaimanapun Polis Diraja Malaysia berjaya menangkap dan menyerahkan mereka kepada Pasukan Polis Diraja Brunei pada 25 Ogos lalu dan mereka harus menjalani tempoh pengasingan diri yang baharu yang mana berakhir  pada 2 September. Ngui Kuek Khian, 38, akan menjalani hukuman penjara 19 bulan serta tiga kali sebatan, manakala Faizal bin Hidup, 20, dan Mazlan bin Kipli, 36, akan menjalani hukuman penjara selama lapan bulan serta tiga kali sebatan, sementara Nurul Huda binti Ahad, 31, pula akan menjalani hukuman penjara selama 11 bulan. Kesemua tertuduh mengesahkan bahawa mereka tidak dapat membayar denda yang dikenakan sekali gus menyebabkan jangka masa hukuman penjara mereka ditambah.

Timbalan Pendakwa Raya Pengiran Hajah Nor ‘Azmeena binti Pengiran Haji Mohiddin mendedahkan di dalam mahkamah bahawa keempat-empat tertuduh pertama kali ditangkap oleh pegawai pencegahan kastam dalam serbuan di sebuah rumah di Jalan Kuala Lurah kerana disyaki melakukan kesalahan kastam pada 12 Ogos lepas.

Mereka diserahkan kepada pasukan penguat kuasa imigresen ketika pegawai tidak menemui apa-apa yang berkaitan dengan kesalahan kastam dan mereka gagal mengemukakan dokumen perjalanan. Mereka juga didapati memasuki Brunei secara haram dan Ngui menjadi pendatang yang dilarang memasuki negara ini.

Pada keesokan harinya, semua tertuduh telah ditempatkan di bawah tempoh pengasingan selama 14 hari di Perkampungan Sukan di Berakas.

Pada jam 9 pagi 23 Ogos, seorang anggota yang mengendali tempat pengasingan diri di Perkampungan Sukan tersebut mendapati bahawa semua tertuduh tidak berada di bilik mereka dan mengesyaki bahawa mereka telah melarikan diri melalui pintu pagar di belakang blok bangunan yang telah rosak.

Pada 25 Ogos lepas, polis Malaysia berjaya menahan keempat-empat tertuduh dan menyerahkan mereka ke Brunei di mana mereka menjalani tempoh pengasingan diri yang wajib dan menamatkannya pada 2 September lalu.

Kes dikendalikan oleh Majistret Mohammad Marzuqi bin Sabtu.