40 cubaan culik digagalkan

LAHAD DATU, 26 JAN – Pasukan keselamatan menggagalkan 40 cubaan culik di perairan Zon Selamat Timur Sabah (ESSZone) sejak 2018 sehingga kini, hasil kekuatan anggota ESSComm serta aset sedia ada Polis Diraja Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia serta Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia.

Komander Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom), Datuk Hazani Ghazali berkata langkah mengukuhkan keselamatan dengan mengetatkan kawalan di laluan berisiko, berjaya mengesan lebih awal tindakan kumpulan pengganas dari Selatan Filipina yang menculik untuk wang tebusan.

“Sebab itu, kalau kita tengok pada tahun 2017 (tiada penculikan), 2018 (dua kes), 2019 (dua kes), sebab itu saya katakan ada 40 percubaan yang dapat kita patahkan sejak 2018, kerana apabila kita (ESSCom) terima info, kita gerak semua (anggota dan aset),” katanya kepada Bernama.

Menurut Hazani, sejak tahun 2000, pusat-pusat peranginan di pantai timur Sabah menjadi sasaran penculik, mendorong penubuhan ESSCom pada 2013 bertujuan memperkukuh keselamatan  dengan meletakkan ‘mata dan telinga’ selain memperbanyakkan ‘polis komuniti’ di pusat peranginan ini.

“Polis juga menguatkuasakan perintah berkurung di perairan ESSZone bagi menghalang jenayah culik, pada masa sama diwujudkan pos-pos keselamatan dan meletakkan anggota keselamatan di pusat-pusat peranginan, kerana kita tahu kekerapan berlaku penculikan di pusat peranginan,” katanya. – Bernama