40 jemaah MRSB jalani kajian serologi

Oleh Salawati Haji Yahya

BANDAR SERI BEGAWAN, 19 JUN – Lebih 40 jemaah Masjid Rashidah Sa’adatul Bolkiah (MRSB), Kampung Sungai Akar mengikuti kajian serologi yang dijalankan di masjid berkenaan, kelmarin.

MRSB merupakan salah sebuah masjid yang terpilih dalam kajian yang dianjurkan oleh Kementerian Kesihatan.

Kajian merupakan lanjutan daripada kajian yang diadakan sebelum ini di pusat-pusat kesihatan yang antara lain bertujuan untuk memperluaskan surveilans di peringkat komuniti di samping membantu Kementerian Kesihatan dalam menganggarkan kadar kekebalan penduduk bagi sesuatu jangkitan.

Salah seorang jemaah masjid yang ditemui, Haji Awang Hasbollah bin Haji Damit melahirkan rasa yakin bahawa setiap kajian dan ujian yang telah dilaksanakan dengan perancangan yang rapi, pelaksanaan yang penuh ikhlas dan ada rasa bertanggungjawab menunaikan amanah dengan meletakkan matlamat untuk melihat Negara Brunei Darussalam bebas COVID-19 sebagai agenda utama, akan membuahkan hasil yang terbaik buat seluruh rakyat dan penduduk di negara ini.

Beliau turut menyampaikan penghargaan dan terima kasih kepada semua warga Kementerian Kesihatan yang terlibat serta petugas perubatan yang telah bertungkus-lumus menjalankan kajian dan pemeriksaan darah bagi COVID-19 untuk memantau dan mengawal penularan wabak di Negara Brunei Darussalam.

Jemaah masjid berkenaan tampil secara sukarela dalam membuat ujian darah bagi kajian serologi COVID-19 dan hasil ujian tersebut mendapati semua keputusan adalah negatif.

Haji Awang Hasbollah, salah seorang jemaah MRSB, menjalani pemeriksaan bagi kajian serologi di masjid berkenaan. – Gambar Serahan MRSB