Sunday, March 23, 2025
24 C
Brunei

    Berita Terkini

    40 kertas kerja bakal dibentangkan

    Oleh Salawati Haji Yahya

    Gambar oleh Muiz Matdani

     

    BANDAR SERI BEGAWAN, 25 Jan – Sebanyak 40 kertas kerja mengenai pengajaran dan pembelajaran Bahasa Arab akan dibentangkan semasa Persidangan Antarabangsa Bahasa Arab di Asia Tenggara 2017 yang akan diadakan pada 1 dan 2 Februari depan.

    Persidangan yang julung-julung kalinya diadakan itu merupakan kerjasama dua buah institusi pengajian tinggi di negara ini, Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB) dan Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA).

    Penjelasan mengenai persidangan berkenaan telah dibuat oleh Pengarah Pusat Bahasa KUPU SB, Dr Haji Hambali bin Haji Jaili pada sidang media di KUPU SB, hari ini, di mana beliau menyatakan bahawa persidangan itu setakat ini telah menarik minat 17 orang pembentang dari Arab Saudi, Oman, Sudan, Malaysia, Indonesia dan negara tuan rumah, Negara Brunei Darussalam.

    Menurutnya lagi, sesi perbincangan meja bulat akan menggabungkan kesemua wakil dari negara Asia Tenggara dan pembentang dari Timur Tengah dan Afrika bagi membincangkan hala tuju pengajaran dan pembelajaran Bahasa Arab di rantau Asia Tenggara.

    Antara lain objektif persidangan itu bukan saja untuk bersidang tapi pihak penganjur juga mengharapkan kesinambungan daripada persidangan ini dilanjutkan pada tahun berikutnya.

    Dr Haji Hambali ketika menjelaskan mengenai persidangan berkenaan.
    Dr Haji Hambali ketika menjelaskan mengenai persidangan berkenaan.

    “Salah satu agenda di meja pada persidangan ini adalah untuk memastikan persidangan ini akan diadakan secara bergilir-gilir di Asia Tenggara,” ujar beliau.

    Persidangan ini akan diadakan di KUPU SB bagi majlis perasmian pada 1 Februari, manakala itu, pada 2 Februari pula, majlis penutup akan diadakan di UNISSA.

    Beliau seterusnya melahirkan harapan dengan kehadiran pakar-pakar dari dalam dan luar, persidangan ini akan dapat sama-sama memikirkan formula ke arah menjadikan pengajaran dan pembelajaran Bahasa Arab sebagai sesuatu yang lebih menarik dan berkesan dalam mempertingkatkan kemampuan Bahasa Arab dalam kalangan masyarakat di Asia Tenggara.

    Persidangan yang bertema Al-Arabiyyah: Bahasa dan Tamadun Umat Islam ini dijangka akan dihadiri oleh ahli-ahli akademik, pegawai dan kakitangan kerajaan, pelajar dan orang persendirian dari dalam dan luar negara.

    Orang ramai yang berhajat untuk menghadiri persidangan ini boleh melayari laman sesawang KUPU SB dan UNISSA.

    Turut hadir pada sidang media itu ialah Dekan Fakulti Bahasa Arab UNISSA, Dr Siti Sara binti Haji Ahmad.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda