40 kes baharu, terendah sejak gelombang ke-2

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 7 NOV – Negara Brunei Darussalam merekodkan kes harian baharu terendah jangkitan COVID-19 sejak gelombang kedua penularan berlaku pada Ogos lalu, sebanyak 40 kes, menjadikan jumlah keseluruhan kes kepada 13,782 orang manakala tiada kluster baharu dilaporkan hari ini.

Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar mengongsikan jumlah jangkitan harian itu pada Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan.

Menurutnya, terdapat 24 pertambahan kes-kes baharu kepada lapan kluster aktif sedia ada yang merupakan kontak-kontak terdekat beberapa kes positif sebelum ini, manakala tiada kluster baharu dilaporkan.

Beliau turut mengisytiharkan satu kluster telah ditamatkan memandangkan tiada kes dikesan dalam kluster itu dalam masa 28 hari iaitu Kluster Bukit Beruang Ops, menjadikan kluster yang aktif sebanyak 183.

“Dalam pada itu, terdapat 16 kes baharu yang masih dalam siasatan bagi mengenal pasti sumber jangkitan,” tambahnya.

Beliau turut mengongsikan, seramai 158 orang telah sembuh, menjadikan jumlah sembuh seramai 12,603 manakala kes aktif sebanyak 1,085.

Menurutnya, dalam kalangan kes-kes yang sedang dalam rawatan, enam dalam Kategori 5 dan sedang dirawat di unit rawatan intensif dan kesemua mereka memerlukan bantuan mesin pernafasan (artificial ventilation) dengan satu daripadanya juga memerlukan bantuan mesin tambahan heart-lung machine (ECMO).

“Sementara itu, lapan kes lain dikategorikan dalam Kategori 4 iaitu yang memerlukan bantuan oksigen dan adalah di bawah pemantauan rapi,” kata beliau lagi.

Manakala dalam tempoh 24 jam yang lalu, sebanyak 4,766 sampel telah diuji bagi virus SARS-CoV-2 yang membawa jumlah keseluruhan ujian makmal dijalankan sejak Januari 2020 kepada 533,431 ujian.

Di hujung kenyataannya, Menteri Kesihatan menyeru orang ramai untuk sama-sama menadahkan tangan memohon keampunan kepada Allah SWT dan mensyukuri segala nikmat yang telah diberikan, dengan harapan kita semua sentiasa dilindungi dan semoga segala urusan kita dipermudahkan.