SANTA ROSA, 16 Okt – Jumlah angka kematian dalam kebakaran hutan di California disahkan meningkat kepada 40 orang, semalam.
Pada masa sama, anggota bomba melaporkan mereka berjaya mengawal keadaan, sekali gus membolehkan ribuan penduduk pulang ke kediaman masing-masing.
Setakat ini, kira-kira 88,090 hektar kawasan musnah dalam kebakaran sepanjang bulan ini, termasuk di Napa dan Sonoma yang terkenal sebagai lokasi pembuatan wain.
“Angka kematian sudah meningkat kepada 40 orang dan ia adalah sesuatu yang menyedihkan,” kata jurucakap Jabatan Hutan dan Perlindungan Kebakaran California dalam mesej di laman webnya, semalam.
Bagaimanapun, katanya, kira-kira 25,000 daripada 100,000 penduduk yang dipindahkan sudah dibenarkan pulang ke rumah masing-masing.
Dalam pada itu, hampir 11,000 anggota bomba dan penyelamat dari beberapa negeri dikerah untuk membantu operasi memadamkan kebakaran di California. – AFP